KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berjanji akan mencari ketua jurulatih yang lebih baik daripada Kim Pan Gon untuk mengemudi skuad kebangsaan.
Hamidin bagaimanapun menjelaskan, ketika ini Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan akan membuat penilaian rapi terlebih dahulu terhadap prestasi ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti.
Beliau berkata, pada masa yang sama FAM akan membuat kerja rumah dengan mendapat nasihat daripada pakar teknikal termasuk dari luar untuk menilai beberapa jurulatih yang berpotensi besar.
“Saya akan cari selepas ini jurulatih yang lebih baik daripada Kim Pan Gon. Itu janji saya kepada peminat,” kata Hamidin pada sidang media di Wisma FAM, semalam.
“KPI dia (Marti), kami tengok tahun ini sampai awal tahun depan. Kami akan pantau dari semasa ke semasa tetapi aksi persahabatan nanti mungkin kita akan dapat nilaikan.
“Jawatankuasa tengah pantau bermula dari sekarang. Tetapi saya janji dengan peminat Malaysia saya akan cari jurulatih yang terbaik jika Pau Marti tidak berjaya berikan prestasi terbaik. Tunggu, saya dalam proses itu sekarang.”
Marti yang sebelum ini berperanan sebagai penolong kepada Pan Gon dilantik mengemudi Harimau Malaya selepas pengendali dari Korea Selatan itu meletak jawatan pada 16 Julai lalu.
Semalam, BH Sukan melaporkan bahawa Hamidin mengesahkan bekas pengendali Vietnam, Park Hang Seo antara salah seorang jurulatih yang berada dalam radar badan induk itu.
Mengulas lanjut, Hamidin menjelaskan antara kriteria jurulatih yang diperlukan adalah memahami kualiti pemain dan memiliki pengetahuan berkaitan musuh Harimau Malaya.
“Musuh kita ASEAN dan Asia, kita bukan nak lawan Brazil atau Jerman, kita belum sampai ke situ. Jadi orang ini (jurulatih) mesti memahami mengenai pemain dan musuh kita.
sumber:-BH
“Piala AFF dan terutamanya tahun depan ada kelayakan Piala Asia, jadi jurulatih mesti ada pengetahuan itu. Ada ramai, saya akan senarai pendek dan dapatkan pasukan untuk membuat analisa, namun kita tunggu prestasi Pau Marti dulu,” katanya.