FAM jawab berkenaan berita yang tular di media sosial

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil menjelaskan bahawa berita yang tular di media sosial berhubung dakwaan peletakan jawatan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) badan induk itu adalah tidak benar dan tidak berasas.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dalam kenyataan, hari ini, mengesahkan tiada sebarang peletakan jawatan secara beramai-ramai atau pembubaran barisan EXCO FAM seperti didakwa.

Beliau berkata, pelantikan dan pemilihan semua EXCO FAM dibuat melalui saluran sah dan berperlembagaan, hasil daripada proses pengundian pada kongres badan induk itu yang selaras dengan Statut FAM serta garis panduan ditetapkan oleh badan induk bola sepak antarabangsa.

“FAM menegaskan bahawa struktur kepimpinan sedia ada terus menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh komitmen demi memastikan kelangsungan tadbir urus serta pembangunan bola sepak negara.

“FAM kekal komited untuk terus beroperasi secara telus, profesional dan berintegriti demi kepentingan bola sepak Malaysia,” kata Mohd Yusoff.

Terdahulu, heboh di laman sosial yang mendakwa terdapat cadangan supaya semua EXCO FAM meletakkan jawatan dan ia dipercayai susulan isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Mohd Yusoff sebelum ini mengesahkan FAM sudah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung hukuman yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membabitkan isu dokumentasi tujuh pemain terbabit.

Beliau berkata, CAS menetapkan bahawa pihak peguam yang mewakili FAM mempunyai tempoh 10 hari sehingga 18 Disember ini untuk mengemukakan hujahan bertulis lengkap.

Bulan lalu, FIFA mendedahkan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan setebal 64 muka surat susulan daripada keputusan jawatankuasa berkenaan pada 3 November lalu yang menolak rayuan daripada FAM dan tujuh pemain terbabit.

Keputusan itu menyaksikan hukuman denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan ke atas FAM oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada September lalu kekal, manakala tujuh pemain terbabit digantung 12 bulan serta dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) setiap seorang.

Tujuh pemain itu adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.