KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil memperjelaskan mengenai pemilihan pasukan ranking 187 dunia, Laos sebagai lawan Harimau Malaya pada aksi persahabatan antarabangsa, bulan depan.
Segelintir peminat mempertikai keputusan badan induk itu mengatur perlawanan dengan pasukan yang berada di ranking jauh lebih rendah berbanding Harimau Malaya yang menghuni kedudukan 133 dunia.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan 18 pasukan terbaik di Asia sudah mempunyai komitmen atau jadual masing-masing hingga tahun depan membabitkan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
“Malah, Pau Marti selaku ketua jurulatih (Harimau Malaya) juga membuat keputusan untuk tidak mengatur perlawanan persahabatan menentang empat pasukan dari Asia Tenggara iaitu Singapura, Thailand, Kemboja dan Timor Leste kerana mereka dalam satu kumpulan dengan kita pada Piala ASEAN 2024, Disember ini.
“Pada masa sama, Pau Marti juga akan memutuskan pasukan manakah yang akan dihantar beraksi pada Piala ASEAN 2024 nanti.
“Perlawanan menentang Laos dan India ini adalah persiapan terakhir beliau dalam menyediakan pasukan ke kejohanan itu,” kata Noor Azman.
Semalam, FAM mengumumkan Harimau Malaya akan menentang Laos di Stadium Port Authority of Thailand (PAT), Bangkok, 14 November depan sebelum menentang pasukan ranking 125 dunia, India pada 19 November.
Selain itu, Noor Azman turut menjelaskan sama seperti aksi menentang New Zealand dalam perlawanan antarabangsa Tier 1 sebelum ini, Pau Marti memutuskan pasukan lawan untuk aksi persahabatan bagi Oktober dan November.
sumber:-BH
“Pau Marti sendiri yang ingin menentang satu kelab (Auckland FC) pada Oktober. Ini kerana beliau mahu mendapatkan perlawanan menentang pasukan negara yang berada dalam ranking lebih tinggi dan kompetitif, namun tiada pasukan negara yang sesuai pada ketika itu,” katanya.