Selepas melalui perubahan besar dalam pentadbiran, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini diberi ruang untuk menstabilkan keadaan, namun persoalan mengenai status pemantauan terhadap badan induk itu masih menjadi perhatian.
Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul berkata, pihaknya ketika ini memberi peluang kepada FAM untuk menyusun semula keadaan selepas Kongres badan induk itu.
“Buat masa ini kita beri peluang kepada FAM untuk ‘settle down’ selepas Kongres,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kenyataan itu hadir ketika FAM sedang melalui fasa pembaharuan susulan isu tadbir urus dan pengurusan organisasi yang sebelum ini menarik perhatian AFC, selain kontroversi dokumentasi pemain warisan yang mencetuskan tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Perubahan besar dalam pentadbiran FAM bermula pada Januari lalu apabila anggota Jawatankuasa Eksekutif bagi penggal 2025-2029 meletakkan jawatan secara kolektif, sekali gus membuka laluan kepada usaha menyusun semula organisasi berkenaan.
Pada Jun lalu, FAM meluluskan pindaan statut yang dicadangkan AFC sebagai sebahagian usaha memperkukuh tadbir urus, termasuk perubahan terhadap struktur jawatan naib presiden, ahli jawatankuasa Eksekutif (EXCO) dan perwakilan dalam proses membuat keputusan.
AFC sebelum ini turut mengumumkan pemantauan terhadap FAM selama dua tahun, termasuk keperluan mengemukakan laporan perkembangan setiap tiga bulan bagi memastikan pembaharuan dilaksanakan.
Pendekatan itu dijelaskan sebagai usaha membantu FAM memperbaiki pentadbiran, bukannya bertujuan menghukum.
Perkembangan seterusnya menyaksikan Datuk Ab Ghani Hassan dipilih sebagai presiden baharu FAM pada 17 September lalu bagi baki penggal 2025-2029, ketika badan induk itu berdepan cabaran memulihkan keyakinan dan memastikan perubahan pentadbiran dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Kepimpinan baharu itu kini perlu memastikan pembaharuan yang dirancang bukan sekadar perubahan struktur, sebaliknya diterjemahkan kepada pengurusan yang lebih tersusun, telus dan diyakini pihak berkepentingan.
Dalam perkembangan berkaitan, Windsor turut ditanya sama ada FIFA masih menjalankan siasatan terhadap FAM susulan isu dokumentasi pemain warisan yang sebelum ini mencetuskan perhatian badan induk dunia itu.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberikan maklumat mengenai status siasatan berkenaan ketika ditanya sama ada FIFA masih meneruskan tindakan terhadap FAM.
“Siasatan FIFA, saya tidak ada maklumat,” katanya.