ALASAN yang diberikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui pengarah teknikalnya, Scott O’Donell susulan kegagalan Harimau Muda di Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) di Qatar sebagai terlalu remeh.
Penganalisis sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata, tindakan FAM yang menyalahkan faktor kecergasan perlawanan dalam kalangan pemain adalah tidak wajar dengan badan induk itu seharusnya tampil dengan perancangan lebih jitu menjelang kejohanan besar seperti Piala Asia B-23.
“Ini adalah satu alasan yang amat remeh pernah kita jumpa daripada seorang pengarah teknikal berpengalaman yang sepatutnya tahu untuk memberi nasihat kepada jurulatih selain sudah mengetahui lebih awal tarikh untuk kejohanan Piala Asia dan kelayakan Olimpik itu.
“Walaupun ada rehat empat bulan sebab liga tiada, ia bukan satu isu. Apa yang menjadi masalah adalah kenapa Scott dan jurulatihnya tidak membuat perancangan dengan memberikan kertas cadangan untuk dibawa kepada mesyuarat agar persiapan dimulakan lebih awal misalnya 60 hari sebelum kejohanan itu.
“Pada ketika beberapa pasukan bola sepak negara Asia Tenggara seperti Indonesia telah meningkat dan berjaya mara ke pusingan seterusnya, kita masih lagi dengan alasan remeh seperti ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Skuad muda negara tampil dengan aksi longlai dalam kejohanan Piala Asia itu apabila kalah semua perlawanan untuk berada di kedudukan terakhir Kumpulan D.
sumber:-SH
Harimau muda tewas kepada Uzbekistan 0-2 pada perlawanan pembukaan dan kemudiannya kalah lagi kepada Vietnam dengan jaringan yang sama sebelum diajar pula oleh Kuwait 1-2 dalam aksi terakhir kumpulan.