sukan

FAM pernah sewa penerbangan khas RM1.25 juta

KUALA LUMPUR: Esok menjadi hari terakhir Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas menerajui badan induk itu sejak 2018.

Kerusi nombor satu itu akan diduduki Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub yang bakal diumumkan sebagai presiden baharu selepas beliau menjadi calon tunggal pada kongres pemilihan FAM yang akan berlangsung, esok.

Hampir tujuh tahun memimpin FAM, jasa dan pengorbanan yang sudah dilakukan Hamidin harus dihargai meskipun tidak dinafikan barisan yang dipimpin beliau tidak boleh lari daripada pelbagai kritikan dan kecaman peminat.

Pelantikan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan yang diketuai Kim Pan Gon boleh dianggap sebagai antara keputusan terbaik di bawah Hamidin apabila Harimau Malaya berjaya bangkit daripada ‘tidur’ dan mencipta sejarah layak ke Piala Asia secara merit selepas 42 tahun.

Malah, Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM, Christopher Raj mendedahkan badan induk itu pernah menyewa penerbangan khas dengan kos RM1.25 juta untuk Harimau Malaya terbang ke Kyrgyzstan bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2026, Jun tahun lalu.

Beliau berkata, perkara itu diusahakan Hamidin bagi menyempurnakan permintaan Pan Gon selain bagi memastikan persiapan Harimau Malaya menghadapi aksi penting ketika itu tidak terjejas.

“Walaupun MAS ( Malaysia Airlines) menjadi rakan rasmi penerbangan (Harimau Malaya) tetapi MAS tak terbang ke Kyrgyzstan. Kita menyewa penerbangan khas kerana Pan Gon berasakan jika guna penerbangan komersial, pasukan akan berada di lapangan terbang Istanbul hampir 48 jam untuk dapatkan penerbangan seterusnya.

“Jadi, untuk kurangkan (tempoh perjalanan) kerana selepas itu pasukan akan menentang Taiwan di Kuala Lumpur (11 Jun), jadi salah satu permintaan daripada Pan Gon, pasukan naik penerbangan khas.

“Tan Sri (Hamidin) usahakan dan FAM mengeluarkan duit untuk bayar penerbangan khas bagi membawa pasukan ke Kyrgyzstan. Sudah pasti beliau yang melantik Pan Gon dan segala yang diperlukan Pan Gon semuanya disediakan oleh FAM.

“Nak tukar hotel, nak duduk di hotel mana, nak pergi berapa hari sebelum perlawanan dan saya boleh katakan kontinjen Pan Gon datang dengan berjuta ringgit, mereka tidak datang dengan murah.

“Sistem yang dibeli, dari segi teknologi yang diperlukan, semuanya dibayar oleh FAM dengan bantuan penaja, dana kerajaan dan sebagainya dan dengan itulah mereka layak ke Piala Asia.

“Apabila kita pulang dari Piala Asia (Qatar), dalam beberapa bulan saja mereka lupakan apa yang dibuat. Tapi itulah sukan, satu hari anda boleh jadi juara dan hari seterusnya anda boleh kalah dalam pusingan awal, kemudian seluruh negara kritik anda,” katanya.

Christopher yang juga Pengerusi Jawatankuasa Media, Komunikasi dan Perhubungan Awam FAM berkata demikian ketika temu bual dalam Podcast Borak Harini yang dikendalikan moderator, Asrizal Aris dan disiarkan di laman YouTube Berita Harian Online, semalam.

Selain itu, Christopher menjelaskan banyak lagi jasa yang dilakukan Hamidin termasuk projek pembinaan pusat pentadbiran baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan (NTC) di Putrajaya.

Justeru, Christopher menyifatkan tindakan Hamidin tidak mempertahankan jawatannya sebagai kehilangan besar dan beliau juga mengakui tidak terkejut sekiranya presiden FAM itu akan kembali dalam arena bola sepak negara pada masa akan datang.

“Sudah pasti satu kehilangan yang besar, tetapi saya berasa beliau akan kembali, saya tidak tahu bila. Bukan sekarang, tapi mungkin dalam masa beberapa tahun akan datang.

sumber:-BH

“Saya kenal beliau, bola sepak ini dalam darah beliau. Kita ada seseorang di FIFA dan AFC, jadi saya berasa FAM perlu gunakan peluang itu untuk dapatkan bantuan yang boleh selagi Tan Sri Hamidin di AFC dan FIFA, jangan bazirkan,” katanya.