KUALA LUMPUR: Selepas kecewa pada edisi tahun lalu, Harimau Malaya diletakkan sasaran untuk menjulang trofi Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung dari 4 hingga 8 September depan.
Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed menjelaskan sasaran yang diletakkan itu sama dengan apa yang disasarkan bagi edisi sebelum ini.
“Semestinya dalam Pestabola Merdeka kita letak sasaran sebagai juara. Macam tahun sudah pun kita letak sasaran sebagai juara, jadi maknanya tiada alasan untuk kita tidak menjadi juara pada edisi kali ini,” kata Firdaus.
Firdaus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM berkata demikian pada sidang media selepas majlis undian Pestabola Merdeka 2024 di Wisma FAM, hari ini.
Malaysia yang berada di ranking 134 dunia boleh dianggap menempa laluan mudah untuk sekali lagi ke final Pestabola Merdeka 2024 apabila diundi menentang pasukan ranking 147, Filipina bagi aksi pertama yang akan berlangsung 4 September depan manakala satu lagi tiket ke final menjadi rebutan antara juara bertahan, Tajikistan dan Lubnan.
Pada Pestabola Merdeka 2023, Harimau Malaya yang dibimbing Kim Pan Gon ketika itu bergelar naib juara selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan di pentas akhir.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman yakin pemangku jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente akan membariskan skuad terkuat untuk menghadapi Pestabola Merdeka 2024.
“Untuk makluman, Pau Marti baru balik dua hari lalu (selepas bercuti di Sepanyol) dan saya nampak beliau ada mesyuarat dengan barisan kejurulatihannya.
SUMBER:-BH
“Nanti beliau akan buat kenyataan. Insya-Allah memang kita akan buat (turunkan) skuad terbaik,” kata Noor Azman.