sukan

FAM tak ‘kalut’ cari pemain kacukan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) enggan mengambil langkah terburu-buru dalam mendapatkan khidmat pemain kacukan dari luar negara yang dikatakan boleh beraksi untuk skuad Harimau Malaya.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan pihaknya sedia maklum mengenai beberapa pemain yang didakwa berdarah campuran dilaporkan pihak tertentu.

Beliau berkata, FAM memantau perkembangan pemain terbabit dan melakukan perbincangan bersama barisan kejurulatihan serta kepimpinan badan induk itu sebelum mengambil langkah susulan.

“Kami memantau perkembangan pemain kacukan yang beraksi di luar negara, namun tidaklah menghubungi mereka dan terus menawarkan bermain untuk Malaysia.

“Mungkin pada masa akan datang ada penambahan pemain kacukan dari luar negara. Namun, segala-galanya bergantung kepada keputusan barisan kejurulatihan dan kepimpinan FAM.

“Sekiranya pemain terbabit bagus dan mampu membantu skuad Harimau Malaya, sudah pasti kami akan mengambilnya demi mempertingkatkan lagi prestasi pasukan kebangsaan,” katanya.

Beberapa nama pemain yang beraksi di luar negara didakwa memiliki darah campuran Malaysia termasuk bekas tonggak Luton Town, Elliot Thorpe dan pemain Heracles Almelo, Sem Scheperman.

sumber:-BH

Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebelum ini mengesahkan kapten kelab Go Ahead Eagles, Mats Deijl mendakwa berdarah campuran dan menyatakan minat beraksi untuk Harimau Malaya.