JOHOR BAHRU: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengecam mutu pengadilan Ahmad Zuhaidi Dzulkifli yang disifatkan berat sebelah selepas tewas 3-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Fandi kesal dengan cara pengadil mengendalikan perlawanan itu yang tidak berlaku adil terhadap pemainnya selepas dilayangkan tiga kad kuning manakala tiada pemain JDT dikenakan tindakan sama ketika penyerang importnya, Kpah Sherman dikasari berulang kali.
Tambah buruk, katanya, pengadil membuat keputusan yang lambat untuk merujuk video bantuan pengadil (VAR) selepas permainan dibenarkan bersambung dan menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad Harimau Selatan.
“Yang paling saya tak senang sekali, cakap terus terang adalah mutu pengadilan. Main bola sudah macam ragbi, Kpah (Sherman) kena terjah beberapa kali pada babak pertama namun tidak dikenakan kad kuning bahkan tidak diberikan sepakan percuma, tapi kami pula dilayangkan tiga kad kuning.
“Kami tahu mereka pasukan yang bagus, tapi haruslah berlaku adil. Macam mana diberikan penalti bila Arif Aiman (Hanapi) sudah terlepas bola dan pemain kami ‘tackle’ bersih dan dia (Arif Aiman) tercampak. Permainan diteruskan tiga minit dan kemudian JDT dihadiahkan penalti. Memang pelik.
“Bagi bola sepak, ini kurang baik. Kalah menang adat permainan dan kami boleh terima kekalahan jika bertanding secara adil dan sudah memberikan segala-galanya atas padang, jadi saya tak boleh terima mutu pengadilan seperti ini,” katanya.
Pengendali berusia 62 tahun dari Singapura itu berkata, cara pengendalian VAR dalam Liga Malaysia boleh dipertikaikan walaupun ia dikendalikan oleh mereka yang berpengetahuan luas dalam bola sepak.
sumber:-BH
“Sudah pasti VAR tak baik, kami tak tahu apa yang mereka bincangkan. Kalau di tempat lain (liga luar negara), mereka tunjukkan di skrin, bukan hanya tayang video di dalam bilik VAR sahaja dan kami juga tak berpeluang nak tengok,” katanya.