sukan

Fandi, Kuljanac kecewa kutip satu mata

KUANTAN: Fandi Ahmad tidak menyembunyikan perasaan kecewanya selepas Sri Pahang gagal mengutip tiga mata apabila sekadar seri 1-1 dengan Kuala Lumpur City di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam tadi.

Ketua jurulatih itu berkata lebih mengecewakannya lagi apabila deretan peluang dimiliki skuad Tok Gajah terutama pada babak pertama tetapi gagal digunakan sepenuhnya.

“Saya hampa kerana seharusnya kami boleh cetak tiga atau empat gol pada babak pertama ketika KL City hanya memiliki satu peluang dan mereka berjaya melakukan jaringan.

“Namun kami bernasib baik kerana tidak tewas di tempat sendiri apabila bangkit pada babak kedua dengan menjaringkan gol penyamaan.

“Bagi saya, perlawanan hari ini (malam tadi) bukan milik Sri Pahang tetapi bersyukur dengan keputusan seri ini,” kata pengendali berusia 62 tahun dari Singapura itu.

Sementara itu, pengendali KL City Miroslav Kuljanac berkata, mereka sepatutnya memenangi perlawanan itu berdasarkan peningkatan corak permainan pada babak kedua.

“Jika berjaya sudahkan dua peluang pada babak kedua, KL City boleh menang,” katanya.

Pada perlawanan itu, KL City mendahului menerusi pemain tengah, Kenny Pallraj pada minit ke-45 sebelum Stefano Brundo menjaringkan gol penyamaan hasil sepakan penalti pada minit ke-79.

sumber:-BH

KL City mengumpul 18 mata di tangga kesembilan manakala Sri Pahang 16 mata satu anak tangga di belakang.