sukan

Fandi teruskan eksperimen jumpa Perak, Penang

KUANTAN: Sri Pahang FC akan melakukan rombakan pemain apabila turun berdepan Perak FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam esok.

Pengendalinya, Fandi Ahmad berkata, rombakan itu perlu untuk membentuk gandingan lebih mantap sebagai persediaan menghadapi final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), 26 April ini.

“Berbaki dua perlawanan, saya akan melakukan perubahan dalam senarai pemain dan strategi untuk mengelak pemain cedera.

“Sebelum ini saya tidak sempat untuk menyenaraikan beberapa pemain ketika menang 6-0 ke atas Kedah Darul Aman FC Selasa lalu.

“Berdasarkan perubahan strategi, saya dapat menilai prestasi pemain kerana mereka masih diberikan peluang untuk berada dalam kesebelasan utama.

“Peluang yang diberikan itu diharap mampu diterjemahkan dengan cemerlang dalam perlawanan berdepan Perak dan Penang FC,” kata legenda bola sepak Singapura itu.

Difahamkan, Fandi akan memberikan fokus di bahagian serangan selepas Kpah Sherman disahkan tidak akan bermain pada aksi final piala berprestij itu.

Namun, jentera tengah dan pertahanan tetap menjadi keutamaan dalam usaha mengukuh benteng apabila berdepan Harimau Selatan.

Ia susulan seorang lagi pemain import, Manuel Hidalgo tidak dapat disenaraikan kerana berstatus pemain pinjaman JDT.

“Justeru saya harap pemain yang diturunkan dapat mempamerkan persembahan terbaik untuk membolehkan mereka disenaraikan nanti.

sumber:- BH

“Kemenangan tetap menjadi keutamaan untuk menamatkan liga di kedudukan terbaik,” kata Fandi.