sukan

Fei-Din perlu kekal lebih kental

BEKAS legenda beregu lelaki negara, Datuk Cheah Soon Kit percaya Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani memiliki kekuatan mental dan semangat juang yang tinggi untuk mengharungi cabaran sebagai pasangan nombor satu dunia.

Beliau berkata, kemerosotan prestasi pasangan profesional itu sejak menghuni ranking teratas dunia pada akhir Mei lalu adalah satu proses pembelajaran yang harus dilalui oleh mana-mana pemain elit.

“Mungkin kerana mereka tiba-tiba jadi nombor satu dunia, jadi tekanan dan harapan orang ramai pun meningkat,” katanya.

Sejak bergelar beregu nombor satu dunia, Sze Fei-Nur Izzuddin gagal menyerlah apabila tersingkir di peringkat suku akhir dalam tiga kejohanan berturut-turut iaitu Malaysia Masters, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.

Selepas ini, mereka bakal menyertai dua kejohanan utama iaitu Terbuka Jepun (15 hingga 20 Julai) dan Terbuka China (22 hingga 27 Julai) yang menjadi penanda aras penting menjelang Kejohanan Dunia di Paris (25 hingga 31 Ogos).

Soon Kit pernah membimbing pasangan itu semasa awal pembabitan mereka dalam skuad kebangsaan kira-kira sembilan tahun lalu.

“Orang ramai harapkan mereka masuk final atau menang setiap kejohanan. Tapi diharap rehat seketika ini dapat bantu mereka reset dari segi emosi dan mental, kemudian bangkit semula,” katanya.

Soon Kit yang mengesan keserasian gandingan tersebut sebelum menyatukan mereka secara rasmi pada 2016, memuji semangat juang Izzuddin yang dilihat sebagai tulang belakang kekuatan pasangan itu.

“Izzuddin memang komited dan rajin. Dia ada kekuatan serangan yang bagus — itu antara sebab saya nampak potensi besar padanya,” katanya.

Mereka yang terkenal dengan julukan Fei-Din menjadi antara pasangan paling lama bertahan dalam arena badminton dunia, meskipun pernah berpisah seketika pada tahun 2023.

“Mereka kini lebih matang dan stabil. Apa yang penting, mereka perlu terus menyokong antara satu sama lain.

“Jangan banyak fikir. mereka sudah berada di puncak, jadi fokus untuk kekal kuat daripada segi mental.

“Kadang-kadang kita menang, kadang-kadang kalah. Itu lumrah sukan. Tapi kita mesti tahu hadapi tekanan, sama ada dari orang luar atau diri sendiri. Yang penting cita-cita dalam diri mesti kekal menyala,” ujar Soon Kit.

Beliau turut menegaskan bahawa aspek paling mencabar buat pasangan ranking tertinggi dunia itu adalah menangani tekanan yang datang seiring dengan status nombor satu dunia.

sumber:- SH

“Semangat itu paling utama. Mereka mesti kekalkan semangat juang. Bila dah jadi nombor satu dunia, semua orang akan kaji dan buru anda. Jadi komitmen mereka perlu kekal tinggi,” ujar Soon Kit.