KUALA LUMPUR: Penyerang Sabah FC, Fergus Tierney tidak akan menggalas cabaran bersama skuad bawah 23 (B-23) tahun negara pada temasya Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand.
Perkembangan itu dimaklumkan Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid yang menjelaskan bahawa keputusan berkenaan dicapai selepas perbincangan dengan ketua jurulatih The Rhinos, Jean-Paul de Marigny.
Mohd Joh memaklumkan, pengurusan kelab mencadangkan supaya Tierney dilepaskan seketika kepada skuad Harimau Malaya B-23 bagi menghadapi aksi pembukaan Kumpulan B menentang Laos di Stadium Rajamangala, Bangkok, Sabtu ini.
Namun, beliau berkata, De Marigny tetap dengan pendirian bahawa Sabah memerlukan khidmat pemain berusia 22 tahun itu dalam rangka melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi aksi final Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 14 Disember ini.
“Cadangan kami (pengurusan) adalah supaya Tierney dilepaskan untuk satu perlawanan iaitu membantu skuad negara berdepan Laos dan selepas itu dia kembali bersama kelab. Namun, jurulatih tetap mahu Tierney bersama pasukan dan fokus kepada aksi final (Piala FA).
“Bagi urusan final ini mereka (jurulatih) sudah maklumkan awal bahawa jika Sabah ke final, Tierney tidak akan dilepaskan. Ia bukan tanggungjawab saya sebab kami sudah meletakkan kepada ketua jurulatih satu sasaran.
“Jadi itu salah satu apa yang dia mahu dan oleh kerana ini adalah komitmen dia, maka saya tidak mahu masuk campur soal keputusannya. Bagi kami, pasukan negara dan kelab kedua-duanya penting, tetapi apa pun dia (jurulatih) pun ada sasaran sendiri.
“Kami menghormati keputusan ketua jurulatih dan secara ringkasnya, Sabah memerlukan khidmat Tierney,” kata Mohd Joh kepada BH Sukan.
Tierney menjadi tonggak utama Sabah ketika ini dan selain aksi final Piala FA, Sabah terlebih dahului bakal mengharungi aksi Liga Super menentang PDRM di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu ini yang mana hari sama Harimau Malaya B-23 menentang Laos.
Setakat ini, antara pemain ‘senior’ yang sedang menjalani latihan bersama skuad B-23 dalam persiapan ke Sukan SEA adalah tonggak pertahanan Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili dan penyerang Kuala Lumpur (KL) City, Haqimi Azim Rosli.
Pengendali skuad B-23, Nafuzi Zain sebelum ini menaruh harapan supaya ada ‘sinar’ buatnya mempertaruhkan barisan pemain terbaik untuk skuad negara terutama dalam membawa misi wajib meraih tiga mata berdepan Laos untuk membuka peluang ke separuh akhir.
“Dari segi persiapan, kami berlatih pun dalam situasi kekurangan pemain. Tak cukup pemain yang betul-betul. Mungkin ada sertai latihan lepas itu balik untuk perlawanan dengan negeri, dengan kelab, lepas itu akan sertai kami semula,” kata Nafuzi.
Selepas menentang Laos, skuad Harimau Malaya B-23 seterusnya akan menghadapi pasukan pilihan, Vietnam bagi aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Rajamangala, 11 Disember ini.