Kuala Lumpur: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sudah melakukan pelbagai usaha demi mengangkat bola sepak negara, namun timbul persoalan apabila individu yang diberi tanggungjawab menguruskan skuad kebangsaan seakan menyepi ketika Harimau Malaya berdepan pelbagai krisis.
Situasi terbabit menimbulkan persoalan buat pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Madya Dr Zulakbal Abd Karim yang menegaskan apa yang dilakukan Tunku Mahkota Ismail tidak boleh dipertikaikan kerana baginda sudah membuktikan kesungguhan dengan mencurahkan komitmen, masa dan kewangan demi melihat Malaysia kembali disegani di pentas antarabangsa.
Namun, katanya, ketika berhadapan krisis terbabit, sepatutnya barisan kepimpinan tertinggi diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya Rob Friend harus tampil ke depan bagi memberikan penerangan dan menyelesaikan isu terbabit.
“Jangan sesekali menyalahkan baginda atas apa yang berlaku. Sebaliknya, persoalan besar ialah di mana peranan pengurusan yang dilantik. Mereka sepatutnya tampil dan bertindak.
“Pasukan Harimau Malaya mempunyai barisan kepimpinan dan merekalah yang seharusnya ke depan dalam menangani masalah ini,” katanya, ketika ditemui Arena Metro.
Beliau berkata demikian merujuk kepada isu terkini yang membabitkan hukuman FIFA terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkaitan status pemain warisan dalam skuad kebangsaan.
Katanya, tindakan FIFA mengenakan denda kepada FAM serta menggantung kelayakan tujuh pemain warisan jelas menunjukkan ada kelemahan dari segi pentadbiran dan pengurusan dokumen, sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dalam era profesional.
“Kes begini bukannya kecil. Ia melibatkan reputasi bola sepak negara di mata dunia. Sepatutnya pengurusan sudah lama bersedia dan memastikan semua urusan dokumentasi mengikut garis panduan FIFA,” katanya.
Menurutnya, apa yang membimbangkan ialah wujud kecenderungan pihak tertentu menuding jari ke arah Tunku Mahkota Ismail, sedangkan tanggungjawab itu terletak pada bahu mereka yang memegang jawatan khusus dalam struktur pengurusan Harimau Malaya.
“Baginda sudah melantik mereka yang dikatakan terbaik. Jadi apabila masalah sebesar ini berlaku, pengurusan tidak boleh berdiam diri. Mereka perlu tampil, beri penjelasan telus dan jelaskan langkah yang diambil,” katanya.
Zulakbal menambah, Tunku Mahkota Ismail sudah melakukan transformasi besar seperti membangunkan fasiliti bertaraf dunia, membawa masuk kepakaran luar dan membentuk sistem pembangunan akar umbi yang menjadi contoh di rantau Asia.
“Kalau semua itu tidak dihargai dengan pengurusan yang cekap, usaha baginda akan jadi sia-sia. Inilah masanya untuk pengurusan membuktikan mereka bukan hanya ada jawatan, tetapi benar-benar mampu bekerja,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan, penyokong Malaysia berhak mendapat maklumat jelas. Pengurusan perlu keluar daripada zon selesa dan jangan hanya menyerahkan semua isu kepada Tunku Mahkota Ismail.
“Krisis seperti ini adalah ujian sebenar. Kalau berjaya ditangani dengan baik, keyakinan penyokong akan pulih. Tetapi kalau terus berdiam, imej bola sepak negara akan semakin tercalar,” katanya.
Katanya lagi, pengurusan tidak boleh lari daripada tanggungjawab kerana inilah harga yang perlu dibayar apabila menguruskan pasukan kebangsaan yang menjadi kebanggaan rakyat.
“Jangan sampai usaha besar Tunku Mahkota Ismail yang sudah membawa bola sepak Malaysia ke tahap membanggakan, terjejas kerana kelemahan mereka yang sepatutnya menjadi tonggak pentadbiran,” katanya.