Saingan Piala Dunia FIFA berpotensi menyaksikan perubahan drastik pada edisi 2030 apabila badan induk bola sepak dunia itu dilaporkan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menambah jumlah penyertaan kepada 64 pasukan.
Presiden FIFA, Gianni Infantino, dikatakan berminat untuk meneruskan rancangan perluasan itu berikutan kejayaan penganjuran Piala Dunia 2026 yang menyaksikan format 48 pasukan julung kalinya diperkenalkan.
Walaupun cadangan itu disasarkan bagi memberi peluang kepada lebih banyak negara kerdil beraksi di pentas tertinggi, pengkritik berpandangan dorongan utama di sebalik langkah berkenaan adalah keuntungan kewangan.
FIFA meraih pendapatan lumayan daripada edisi 2026 dan kini berada pada fasa kritikal untuk merundingkan hak penyiaran televisyen, terutama di Amerika Syarikat bagi dua edisi akan datang.
Penambahan jumlah perlawanan dijangka dapat menjana pulangan hak penyiaran yang luar biasa, setaraf dengan hak penyiaran liga gergasi dunia seperti Liga Bola Sepak Kebangsaan (NFL), Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA), dan Sukan Olimpik.
Format 64 pasukan itu dilaporkan masih boleh dijalankan dalam tempoh masa enam minggu yang sama, membabitkan 16 kumpulan dengan empat pasukan, di mana dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan 32 terbaik.
Selain faktor kewangan, cadangan penambahan ini turut memberi kelebihan kepada penganjur bersama dari Amerika Selatan pada edisi 2030.
Mengikut perancangan asal, majoriti perlawanan edisi 2030 akan dilangsungkan di Semenanjung Iberia dan Sepanyol/Maghribi, manakala negara Amerika Selatan hanya menerima slot satu perlawanan.
Perluasan kepada 64 pasukan akan membolehkan negara Amerika Selatan menganjurkan keseluruhan peringkat kumpulan dan potensi perlawanan pusingan 32 terbaik sebelum kejohanan beralih ke Eropah, format yang serupa dengan peranan Kanada dan Mexico sebagai penganjur bersama dengan Amerika Syarikat pada 2026.
Langkah ini juga dilihat bakal meredakan pertikaian hak penganjuran bagi edisi 2038 kelak.
Bagaimanapun, ura-ura penambahan drastik ini mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak memandangkan FIFA hanya memerlukan tempoh satu edisi sahaja untuk melompat dari 48 kepada 64 pasukan, berbanding tempoh 28 tahun yang diambil sebelum ini untuk menambah pasukan daripada 32 kepada 48.
Sekiranya format 64 pasukan ini diluluskan, hampir 31 peratus daripada keseluruhan ahli gabungan FIFA bakal beraksi di peringkat akhir Piala Dunia.
Namun, penganalisis berpendapat penambahan ini lebih berorientasikan keuntungan komersial berbanding peningkatan kualiti persaingan.