Kuala Lumpur: Aduan diterima Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 11 Jun lalu menjadi titik permulaan kepada pembukaan kertas siasatan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Perkara itu didedahkan dalam laporan rasmi FIFA bertajuk ‘Notification of the Grounds of the Decision’ bertarikh 6 Oktober, yang memperincikan butiran penuh keputusan menghukum FAM serta tujuh pemain terbabit.
Tindakan itu dilakukan selepas skuad Harimau Malaya membelasah Vietnam 4-0 pada aksi Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun lalu, sekali gus membuka ‘pintu’ kepada aduan terhadap pemain warisan negara terbabit.
Mereka ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel.
Berdasarkan laporan itu, FIFA menerima aduan berkenaan pada 11 Jun iaitu sehari selepas Harimau Malaya membelasah Vietnam 4-0.
Laporan itu turut menggunakan kod ‘player 1’ hingga ‘player 7’ bagi merujuk kepada tujuh pemain berkenaan yang dikaitkan dengan isu kelayakan mewakili skuad kebangsaan.
“Pada 11 Jun 2025, FIFA menerima satu aduan berkaitan kelayakan pemain 1, 3, 4, 6 dan 7.
“Pengadu mengemukakan satu aduan rasmi berhubung sebab untuk mempercayai bahawa beberapa pemain kelahiran luar negara tidak layak mewakili pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia,” menurut laporan itu.
FIFA menjelaskan, proses naturalisasi dan penampilan antarabangsa pemain itu berlaku dalam tempoh yang dianggap meragukan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesahihan proses berkenaan.
Susulan aduan itu, sekretariat kepada Jawatankuasa Tatatertib FIFA (Sekretariat) menjalankan siasatan mengikut Perkara 30(1) dan 35(5) Kod Tatatertib FIFA (FDC).
Dalam skop siasatan terbabit, Sekretariat FIFA berjaya mendapatkan salinan sijil kelahiran asal yang membabitkan datuk dan nenek kepada tujuh pemain berkenaan daripada pihak berkuasa negara masing-masing.
Hasil siasatan yang dibentangkan dalam dua laporan berasingan mendapati bukti dokumen asal itu berbeza daripada dokumen dikemukakan oleh FAM sebelum ini, sekali gus menjadi asas kepada keputusan FIFA mengenakan hukuman terhadap badan induk bola sepak negara dan pemain terbabit.