Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (JDT) seharusnya mampu meledak lebih banyak jaringan namun kemenangan 3-1 ke atas Lion City Sailors FC sudah memadai pada aksi Kumpulan B saingan Kejuaraan Kelab Asean (ACC) 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.
Pandangan itu disuarakan tonggak serangan Harimau Selatan, Joao Figueiredo yang menegaskan skuadnya gagal memanfaatkan deretan peluang di depan gawang The Sailors bagi merekodkan kemenangan lebih besar.
“Kami beraksi dengan baik apabila mengawal perlawanan pada separuh masa pertama dan seharusnya dapat menjaringkan lebih banyak gol tetapi corak permainan pasukan lawan yang `berkampung;’ di kawasan mereka menyulitkan usaha menambah gol.
“Apa pun secara keseluruhannya, kesemua pemain memberikan aksi terbaik di sepanjang perlawanan ini,”katanya
Pemain warisan skuad kebangsaan itu dinobat selaku pemain terbaik perlawanan selepas meledak dua gol pada minit ke-11 dan minit ke-16 perlawanan selain kelibat Arif Aiman Hanapi mencipta jaringan pada masa kecederaan manakala gol saguhati skuad The Sailors dijaringkan pemain gantian Shawal Anuar pada minit ke-94.
Figueiredo turut berharap dapat membantu JDT mara lebih jauh dalam sangan ACC kali ini.
“Apa yang penting ialah mempamerkan corak permainan yang baik apabila turun beraksi dalam setiap perlawanan kerana ia untuk pasukan,” katanya.