KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Perak, Yusri Che Lah menyifatkan barisan pemainnya tidak perlu malu apabila tewas 2-1 kepada Selangor meskipun pasukan lawan beraksi dengan 10 pemain lebih 30 minit.
Pengendali berusia 48 tahun itu menjelaskan, kehilangan fokus pada babak pertama yang menyaksikan mereka dibolosi dua gol menjadi antara faktor Bos Gaurus mengalami kekalahan ketiga dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.
Malah, Yusri berkata bahawa dia bukan pengarah filem yang boleh membuat skrip atau mengatur jalan cerita bagi keputusan akhir perlawanan memihak kepada pasukannya.
“Ia (tewas) sesuatu yang kami tidak inginkan pun. Pemain tidak harus berasa malu dengan prestasi, cuma kami hilang fokus pada separuh masa pertama dan membiarkan dua jaringan dari situasi bola mati.
“Perubahan pada separuh masa kedua yang kami lakukan banyak membuahkan hasil, malangnya pasukan Selangor bertahan dengan baik walaupun kami menjaringkan gol ketika perlawanan berbaki 12 minit.
“Bagi saya, semua orang memainkan peranan yang penting, Azfar (Fikri Azhar) bertindak sebagai pemain gantian dan pemain lain yang dibawa masuk pada babak kedua memberikan persembahan yang terbaik.
“Seandainya kami menggunakan peluang di awal permainan dan jika Lee Tae Min berjaya menggunakan (peluang) satu lawan satu itu menjadikan gol pada babak pertama, ia akan bertukar skrip atau jalan cerita. Tapi saya bukan pengarah filem, jadi filem saya ini kalah,” katanya selepas perlawanan.
Perak bolos dua gol pada babak pertama hasil jaringan penyerang import Selangor, Ronnie Fernandez yang berpunca dari sepakan sudut dan penalti manakala Perak meraih jaringan tunggal pada minit ke-78 menerusi Azfar.
Kekalahan itu menyaksikan Perak jatuh ke tangga ke-11 liga dengan mengumpul tiga mata selepas mengharungi empat perlawanan.
Selain itu, Yusri tidak menyalahkan pemainnya terutama kesilapan Tommy Mawat Bada mengasari Alvin Fortes hingga membolehkan Selangor dihadiahkan sepakan penalti dan menjadi pencetus jaringan kedua Gergasi Merah.
sumber:-BH
“Saya sayangkan pemain saya, itu yang paling utama. Mereka manusia, mereka melakukan kesilapan, sama juga dengan saya,” katanya.