JAKARTA: ‘Jangan fikir final dulu, Bangladesh dahulu!’
Itu mesej jelas jurulatih sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelang aksi pembukaan Piala ASEAN FIFA 2026 menentang Bangladesh di Stadium Gelora Bung Karno, esok.
Cheng Hoe menegaskan fokus pasukannya ketika ini hanya terarah kepada Bangladesh dan mengakui perlawanan pertama dalam kejohanan sentiasa hadir dengan cabaran tersendiri.
Malah, beliau mahu pemain menggunakan sasaran Presiden baharu FAM, Datuk Ab Ghani Hassan yang mensasarkan Harimau Malaya melangkah ke final sebagai pembakar semangat untuk memulakan kempen dengan keputusan positif.
“Ya, sudah tentu kami menganggapnya sebagai satu cabaran dan pada masa sama kami benar-benar fokus untuk perlawanan pertama ini. Seperti yang saya katakan sebelum ini, dalam mana-mana kejohanan, perlawanan pertama sentiasa sukar.
“Kami menjadikannya sebagai cabaran dengan sasaran presiden baharu. Pada masa sama, saya fikir pemain-pemain kami juga sangat teruja untuk menyertai Piala ASEAN FIFA yang pertama ini.
“Sudah tentu dalam bola sepak, setiap perlawanan dan setiap mata amat bernilai. Jadi amat penting untuk kami bermula dengan keputusan yang baik menentang Bangladesh esok,” katanya, dalam sidang media pra perlawanan, sebentar tadi.
Sementara itu, beliau berkata kesemua 23 pemain yang berada dalam kem kini bersedia untuk diturunkan, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepadanya untuk membentuk kesebelasan terbaik bagi perlawanan pembukaan.
Katanya, biarpun tempoh persiapan agak singkat, skuad Harimau Malaya tetap berada dalam keadaan bersedia selepas beberapa perubahan terpaksa dilakukan terhadap senarai asal pemain.
“Ya, kesemua 23 pemain bersedia untuk perlawanan esok. Kami sangat gembira kerana kami semua bersama. Semua pemain sudah bersedia.
“Pada masa sama, disebabkan kami sudah mengumumkan 23 pemain sebelum ini, malangnya pada hari-hari terakhir kami perlu menggantikan tiga pemain,” katanya.
Mengikut rekod, Harimau Malaya membuka kempen menentang Bangladesh di Stadium Gelora Bung Karno, esok sebelum berdepan Indonesia di venue sama tiga hari kemudian.
Aksi terakhir kumpulan pula menyaksikan Malaysia menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Oktober, manakala final dijadualkan berlangsung di Gelora Bung Karno pada 5 Oktober.