sukan

Friend akhirnya jawab berkenaan status jawatan CEO Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Rob Friend menjelaskan bahawa dirinya masih memegang jawatan selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya dan tidak pernah menafikan perkara itu.

Ia susulan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkaitan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan, kelmarin mencetuskan persoalan mengenai jawatan Friend.

Menerusi laporan berkenaan, FIFA menjelaskan kenyataan diberikan oleh bekas pemain kebangsaan Kanada itu lebih menjurus kepada peranan konsultan buat FAM.

Friend bagaimanapun dilaporkan berkata bahawa apa yang dijelaskan kepada FIFA adalah lebih menjurus kepada skop pembabitannya, bukan berkisar kepada jawatan.

“Saya adalah CEO. Penjelasan saya hanya tentang skop pembabitan, bukan peranan atau pun jawatan. Untuk lebih jelas, saya tidak pernah menafikan yang saya adalah CEO,” kata Friend seperti dilaporkan sebuah portal stesen televisyen swasta.

Menerusi alasan bertulis penuh setebal 64 muka surat yang dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan FIFA, Friend yang dipanggil memberi keterangan mengakui dirinya hanyalah seorang konsultan skuad kebangsaan.

“Friend menjelaskan dia bekerja sebagai konsultan kepada FAM, berpengkalan di Kanada dan akan ke Malaysia pada hari perlawanan dan menyatakan peranannya adalah untuk membantu projek terutamanya dalam aspek penambahbaikan kejurulatihan dan kakitangan teknikal,” menurut kenyataan Jawatankuasa Rayuan FIFA.