Futsal: Info Siaran Langsung Malaysia VS Indonesia

Bangkok – Selain perebutan pingat gangsa bola sepak lelaki, tumpuan peminat sukan tanah air turut terarah kepada gelanggang futsal apabila skuad Malaysia bakal berdepan musuh tradisi, Indonesia, dalam aksi penting di Stadium Nonthaburi, Bangkok, petang ini.

Seperti kebiasaan, setiap pertemuan Malaysia-Indonesia dalam apa sahaja sukan pasti mencetuskan drama dan emosi. Di gelanggang futsal, perseteruan ini lebih sengit kerana kedua-dua pasukan memiliki reputasi besar di rantau Asia Tenggara.

Malaysia, di bawah kendalian jurulatih Rakphol Sainetngam, kini berada di momentum terbaik selepas mencatat kemenangan penting ke atas Vietnam dan Myanmar. Namun, cabaran menentang Indonesia bukanlah tugas mudah.

Indonesia hadir dengan reputasi hebat selaku juara Piala Futsal ASEAN 2024. Lebih membimbangkan, dalam aksi terakhir melibatkan kedua-dua pasukan pada tahun lalu, Malaysia tewas 0-5. Rekod itu menjadi peringatan jelas bahawa skuad negara perlu tampil lebih agresif dan berdisiplin untuk menebus maruah.

Hanya kemenangan akan memastikan pingat buat kem negara. Jika sebaliknya berlaku, Malaysia terpaksa menantikan keputusan perlawanan lain kerana Thailand, Indonesia, dan Vietnam masih mempunyai satu lagi aksi esok. Pertemuan dengan Indonesia adalah perlawanan terakhir buat Malaysia, menjadikan ia penentu nasib skuad negara.

Info Siaran Langsung

Malaysia vs Indonesia

Sepak mula: 5:00 petang, 18 Disember 2025 (Khamis)

Tempat: Stadium Nonthaburi, Bangkok

Siaran Langsung: YouTube Saluran Sea Games TVS

Tiada saluran lain menyiarkan perlawanan ini, namun peminat boleh menyaksikan aksi penuh dramatik secara langsung di YouTube. Tiga perlawanan skuad futsal negara sebelum ini juga turut disiarkan di saluran tersebut.

Kali terakhir skuad futsal Malaysia meraih pingat di Sukan SEA ialah pingat perak pada edisi Kuala Lumpur 2017. Selepas beberapa edisi tanpa pencapaian besar, peluang kali ini menjadi medan kebangkitan untuk mengembalikan kegemilangan futsal negara.