sukan

Gabungan pemain senior, muda lebih mantap

Kuala Lumpur: Kombinasi pemain muda dan senior dalam skuad Harimau Malaya bakal membentuk gandingan lebih dinamik dan mengancam dalam usaha mencatat kemenangan pada perlawanan persahabatan bertemu New Zealand, 14 Oktober ini.

Pemain tengah negara, Syamer Kutty Abba beranggapan kehadiran pemain muda menyaksikan skuad Harimau Malaya lebih bertenaga dan segar, sekali gus mampu mengejutkan pasukan yang berada di ranking ke-94 dunia itu.

Syamer yang juga pemain Penang FC berkata, dia turut meletakkan sasaran mahu mencipta kemenangan pada pertemuan menentang New Zealand berdasarkan kepada barisan pemain yang dipanggil pada kali ini.

“Ini adalah satu perkara yang baik menerusi gabungan pemain dan senior. Ia dapat membentuk pasukan lebih dinamik berdasarkan kepada pemain baru masuk dalam skuad Harimau Malaya.

“Sudah tentu saya mahu menang dan perlawanan persahabatan ini cukup penting dalam bentuk keserasian dalam pasukan selain persiapan untuk kejohanan akan datang,” katanya.

Pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente memanggil tonggak muda terdiri daripada penjaga gol Selangor, Azim Al Amin Kamaruddin serta pemain muda dari skuad B-19 kebangsaan yang baharu kembali dari Kelayakan Piala Asia B20 2025 di Tajikistan iaitu penjaga gol, Haziq Aiman Mohd Esa (JDT II) dan Haykal Danish Mohd Haizon (Selangor B-23).

Kali terakhir Harimau Malaya berdepan New Zealand ialah pada 2006 di bawah kendalian ketua jurulatih, Norizan Bakar apabila Malaysia tewas 1-0 di Christchurch pada 19 Februari dan 1-2 di Auckland, empat hari kemudian dalam perlawanan persahabatan.

Sementara itu, Syamer berkata ketiadaan kapten pasukan, Dion Cools dalam menentang New Zealand bakal membuka ruang buat pemain lain untuk membuktikan kemampuan bagi mengetuai skuad negara.

sumber:-HM

“(Ketiadaan Cools) tidak menjadi masalah sebab kita ada ramai pemain yang boleh mengisi peranannya dan ia beri peluang kepada pemain lain untuk menonjol dan memberi satu penambahan dalam pasukan,” katanya.