ALOR SETAR: Pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) masih mengharapkan isu penyelesaian gaji mereka dapat diselesaikan sebelum menyambung kembali aksi Liga Super berdepan Terengganu FC (TFC), Sabtu ini.
Meskipun dalam penantian itu, mereka masih berkorban untuk meneruskan latihan persiapan memulakan aksi Liga Super menerusi baki semangat yang ada sambil terus mendoakan agar tunggakan gaji ini dapat diselesaikan sebelum kembali turun memulakan aksi menentang skuad Penyu.
Menurut sumber, pemain yang kembali turun menghadiri latihan sejak minggu lalu masih mengharapkan ‘khabar gembira’ daripada pihak pengurusan sebagai bekalan motivasi sebelum turun semula berjuang di laman sendiri dengan penuh berkeyakinan.
“Kami masih menunggu untuk isu gaji ini dapat diselesaikan walaupun sudah melewati tempoh yang agak panjang dan cukup sukar yang kami tempuhi kerana dalam masa yang sama kami juga perlu fokus tanpa sebarang gangguan untuk kembali beraksi di depan penyokong di laman sendiri untuk menentang TFC.
“Jadi, tempoh sebelum aksi menentang TFC ini, kami begitu berharap isu tunggakan gaji ini dapat diselesaikan dan sekiranya menjadi kenyataan, ia sudah pasti mampu menjadi ‘tonik’ yang cukup berkesan dalam persiapan yang sedang kami lalui kini.
“Kami tahu semua pihak termasuk penyokong masih mengharapkan usaha terbaik daripada kami bagi menghadapi aksi sambungan liga dan bangkit memburu kemenangan selepas kami kembali muncul semula di padang latihan,” katanya.
Pada awal Oktober, media melaporkan pemain KDA FC kembali ke padang latihan selepas memboikot latihan buat kali kedua meskipun masih terhimpit dengan isu tunggakan gaji yang melanda dan belum diselesaikan.
Pemain dilihat kembali meneruskan komitmen mereka dan membuktikan tahap profesionalisme dalam usaha mempersiapkan diri untuk sambungan aksi Liga Super.
Sebelum ini, isu boikot buat kali kedua dalam sesi latihan ini terjadi selepas Sang Kenari mengikat Sri Pahang FC 2-2 di Stadium Darul Aman pada 21 September lalu.
sumber:-BH
Namun melalui perkembangan setakat semalam, kerajaan negeri menerusi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sedia mempertimbang kaedah untuk membantu pasukan KDA FC yang masih berdepan kemelut tunggakan gaji ketika ini.