sukan

Gamel luah kekecewaan Selangor bolos kepada PDRM

Di sebalik kemenangan 3-1 ke atas PDRM pada aksi Liga Super semalam, pengendali Selangor FC (SFC), Christophe Gamel tetap kecewa dengan gol yang dilepaskan oleh anak buahnya.

SFC yang turun sebagai pelawat di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bolos pada minit ke-52 selepas Muhammad Fakhrul Azim Mohd Zulphatah yang dibiarkan bergerak daripada bahagian sayap kanan masuk ke tengah dan melepaskan rembatan kencang menewaskan Kalamullah Al-Hafiz.

Jaringan itu membolehkan PDRM FC mengurangkan defisit kepada 1-2 sebelum SFC mengembalikan kelebihan dua gol menerusi gol ketiga daripada Noor Al-Rawabdeh pada minit ke-66.

“Kita tidak membenarkan lawan beraksi seperti yang mereka mahukan di mana kita sentiasa menekan mereka. Tetapi saya kecewa dengan gol itu kerana tiga kali dibolosi dengan cara sama menerusi tiga pemain berbeza.

“Tetapi pemain menunjukkan semangat dan lebih segar selain kita boleh nampak mereka bersungguh untuk menterjemahkan perancangan di atas padang.

“Secara keseluruhan, ia persembahan yang baik dengan lebih konsisten. Jadi kita perlu teruskan proses ini dalam perlawanan seterusnya,” kata Gamel.

Dalam masa sama, Gamel mengakui mereka sentiasa turun dengan misi untuk mendapatkan seberapa banyak jaringan yang boleh namun keadaan padang memberikan cabaran yang besar buat anak buahnya.

“Saya sentiasa jangkakan gol yang maksimum. Tetapi saya rasa ia sukar dengan keadaan padang pada malam ini.

“Ada juga beberapa kesilapan teknikal, begitu juga dengan pasukan lawan. Itu bermakna ini bukanlah perlawanan yang mudah tetapi kita ada peluang yang lebih baik untuk mendapatkan lebih banyak gol,” katanya.