sukan

Gamel mohon maaf kepada penyokong Selangor

KUALA LUMPUR: Pengendali Selangor FC (SFC), Christophe Gamel memohon maaf kepada penyokong selepas perjalanan mereka dalam kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim ini terhenti di laman sendiri, malam tadi.

Tumbang dalam tiga aksi terdahulu, SFC jelas berada pada landasan tepat untuk meraih kemenangan sulung apabila mendahului 2-0 selepas babak pertama menentang Persib Bandung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Namun segalanya berubah pada babak kedua dengan jaringan minit akhir Adam Alias menghadiahkan kekalahan keempat buat SFC sekali gus tersingkir seawal peringkat kumpulan.

Gamel mengakui betapa beliau kecewa dengan persembahan beberapa pemain senior yang dilihat gagal untuk memberikan impak dalam membantu pasukan pada aksi terbabit.

Jelasnya, mereka bermula dengan baik tetapi kesilapan yang dilakukan membuatkan mereka dihukum dengan jaringan lawan yang akhirnya membawa kepada kekalahan.

“Kami memegang perlawanan ini tetapi melepaskannya. Inilah yang saya katakan seperti sebelum ini mengenai konsistensi, kesinambungan dan kekuatan mental.

“Kami dihukum di peringkat tertinggi jadi sudah tentu kecewa kerana tersingkir daripada pertandingan ini. Kami tahu kelemahan dan memang jelas kami kekurangan dari segi fizikal.

“Saya rasa babak pertama sangat baik tetapi kami kemudian memberi harapan kepada lawan. Ia adalah kesilapan individu dan apabila kita melakukan perkara seperti ini, inilah yang perlu kami terima,” kata Gamel.

Sebagai rekod, SFC mengharungi kempen ACL2 yang sangat mengecewakan selepas gagal meraih sebarang mata selepas mengharungi empat perlawanan.

Mereka hanya meledak enam gol namun bolos 13 gol dalam empat perlawanan yang diharungi setakat ini.