KUALA LUMPUR: Selepas pulang dengan tangan kosong dalam empat perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), Selangor FC (SFC) akhirnya berjaya membawa pulang satu mata selepas mengikat Bangkok United 1-1 di Stadium Pathum Thani, semalam.
Pengendalinya, Christophe Gamel mengambil pendekatan berani apabila menggabungkan kombinasi pemain muda dan berpengalaman sekali gus mampu memberi saingan kepada wakil Thailand itu.
Tegasnya, beliau perlu memberikan sepenuh keyakinan kepada pemain muda kerana mereka akan memainkan peranan penting untuk pasukan itu pada masa akan datang.
“Seperti yang anda lihat, saya tidak takut menurunkan pemain yang sangat muda kerana seluruh pasukan perlu percaya antara satu sama lain. Ini adalah perkara asas yang saya cuba tekankan sejak awal.
“Ini satu keputusan yang sangat positif terutamanya jika dibandingkan dengan perlawanan menentang Persib Bandung sebelum ini. Kita tewas pada saat akhir walaupun kita sepatutnya mendapat lebih lagi daripada perlawanan itu.
“Jadi saya mahu memberikan kredit kepada pemain kerana mereka tidak pernah berputus asa,” katanya.
Dalam masa sama, Gamel juga melihat pemain dapat terus mengekalkan mentaliti yang mantap meskipun terpaksa berdepan tekanan besar daripada tuan rumah sepanjang perlawanan terbabit.
“Saya tahu semua orang agak risau kerana lawan kami memang sangat bagus. Tetapi dengan kualiti kami sendiri, kami percaya kami mampu melakukannya dan itu yang saya mahu lihat daripada pemain.
“Apa yang mereka tunjukkan hari ini adalah bukti kepada mentaliti baharu yang dibina dan ini adalah sesuatu yang sangat positif untuk masa depan pasukan,” katanya.