sukan

ganjaran lumayan pembakar semangat pemain negara

KUALA LUMPUR: Kapten skuad Piala Thomas negara, Soh Wooi Yik mengakui ganjaran lumayan dijanjikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedikit sebanyak membakar semangat pemain bagi menjuarai kejohanan berprestij itu.

Pemain beregu lelaki nombor satu negara itu, bagaimanapun, berkata ia tidak mudah untuk meraih ganjaran berkenaan kerana mereka perlu menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi dalam usaha untuk muncul juara.

“Sudah tentu ia membakar semangat dan memberi motivasi kepada kami. Saya sudah menyaksikan Piala Thomas sejak kecil lagi, ini adalah satu kejohanan berpasukan bukannya individu.

“Kita tidak berjuang untuk diri sendiri untuk mendapat ganjaran. Kami mesti ada semangat sepasukan yang tinggi dan saling membantu antara satu sama lain.

“Ia tidak sama seperti kejohanan individu yang kami sering sertai. Untuk mendapatkan ganjaran, kami perlu muncul juara.

“Namun, saya tidak mahu terlalu memikirkan soal ganjaran ini terlebih dahulu kerana saya mahu fokus kepada permainan saya dulu.

“Lagipun, perjalanan kami masih jauh lagi,” kata Wooi Yik ketika ditemui selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad Piala Thomas/Uber di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Terdahulu, Norza mengesahkan badan induk itu menyediakan ganjaran wang tunai kepada skuad Piala Thomas sekiranya berjaya muncul juara kejohanan itu yang akan berlangsung di Chengdu, China dari 27 April hingga 5 Mei ini.

Bagaimanapun, Norza tidak mendedahkan jumlah ganjaran berkenaan tetapi memaklumkan yang pemain mengetahui mengenainya.

Difahamkan BAM menjanjikan ganjaran lebih RM1 juta sekiranya skuad lelaki negara berjaya muncul juara Piala Thomas sejak kali terakhir memenanginya pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Wooi Yik yang kali pertama mengetuai pasukan di Piala Thomas berjanji akan cuba melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin.

Katanya, dia juga akan mendapatkan bantuan daripada pasangannya, Aaron Chia dan pemain perseorangan, Lee Zii Jia bagi membantu memastikan pasukan sentiasa berada dalam ‘mood’ terbaik.

“Kami bertiga sudah banyak kali bertanding di kejohanan besar dan kami boleh berkongsi pengalaman yang ada kepada rakan sepasukan terutama pemain muda.

“Apa yang paling penting kita saling bantu membantu antara satu sama lain apabila kita ada masalah,” katanya.

Pada saingan Piala Thomas kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.

sumber:-BH

Skuad negara akan membuka tirai saingan menentang Hong Kong pada 27 April ini sebelum berdepan Algeria keesokan harinya dan bertemu Denmark pada 30 April untuk aksi terakhir peringkat kumpulan.