Ganjaran untuk atlet cemerlang bukanlah satu pembaziran

Setiap kemenangan ada harganya. Dalam dunia sukan, harga itu sering dibayar dengan masa muda, disiplin yang keras, kecederaan berulang, dan masa depan yang tidak menentu. Di sebalik sorakan gemuruh dan tepukan penonton, tersembunyi kehidupan atlet yang penuh tekanan, pengorbanan, dan pertaruhan nasib.

Atlet bukan sekadar bersaing untuk nama negara, tetapi berdepan realiti hidup yang mencabar. Mereka mempertaruhkan kesihatan, pendidikan, dan kestabilan hidup demi menggalas tanggungjawab negara. Kajian menunjukkan puncak prestasi atlet biasanya antara umur 18 hingga 30 tahun, dengan purata kerjaya profesional hanya sekitar 10 hingga 15 tahun. Dalam tempoh singkat ini, mereka perlu mengorbankan segalanya.

Maka, ganjaran tidak wajar dilihat sebagai hadiah bermusim, tetapi sebagai elemen asas kebajikan. Dalam era moden, atlet adalah profesional dalam industri sukan global bernilai lebih AS$600 bilion (RM2.54 trilion) setahun. Kemenangan mereka bukan sahaja membina reputasi negara, tetapi merangsang penajaan, pelancongan sukan, dan keseluruhan ekosistem ekonomi.

Jika ditinjau amalan antarabangsa:

Singapura menawarkan ganjaran tunai tertinggi dunia kepada pemenang Olimpik, disokong sektor swasta.

Australia membina sistem sokongan menyeluruh melalui Australian Institute of Sport (AIS) dengan elaun, biasiswa, rawatan perubatan, dan program peralihan kerjaya.

Filipina memberi ganjaran tunai besar serta kediaman kepada pemenang emas Olimpik.

Korea Selatan menawarkan elaun bulanan seumur hidup kepada atlet bertaraf dunia.

China menempatkan atlet bersara dalam jawatan kejurulatihan dan pentadbiran sukan.

Malaysia tidak ketinggalan jauh. Inisiatif memperkenalkan caruman KWSP dan Perkeso kepada atlet merupakan lonjakan besar – buat pertama kali atlet diiktiraf setaraf pekerja profesional dengan jaminan persaraan dan perlindungan kecederaan. Namun, langkah ini perlu diperluas dalam kerangka lebih menyeluruh.

Dana Kecederaan Nasional – khusus bagi atlet yang mengalami kecederaan serius ketika membela negara. Kecederaan bukan sahaja menamatkan kerjaya, malah menjejaskan kehidupan selepas persaraan. Dana ini menjadi isyarat jelas bahawa negara berdiri bersama atlet dalam saat sukar.

Skim Geran Latihan Khas – kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan badan sukan untuk menyediakan kursus kemahiran, latihan vokasional, sijil profesional, atau pembelajaran fleksibel. Atlet yang dibantu dalam fasa transisi lebih stabil dari segi emosi dan produktif dalam komuniti.

Insentif Cukai kepada Sektor Swasta – memperluas keterlibatan syarikat dalam menaja program pembangunan bakat atau menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas atlet. Jepun dan Australia telah membuktikan bahawa sinergi kerajaan-swasta mampu membina sukan berprestasi tinggi tanpa membebankan dana awam.

Gabungan Ganjaran Tunai dan Aset Jangka Panjang – imbuhan segera sebagai pengiktirafan, perumahan sebagai jaminan masa depan, serta perlindungan sosial sebagai benteng keselamatan ekonomi.

Ganjaran kepada atlet sering disalah tafsir sebagai pembaziran. Hakikatnya, ia adalah pelaburan strategik nasional. Negara yang berjaya dalam sukan memahami bahawa kecemerlangan tidak datang secara percuma. Atlet adalah aset negara, dan kebajikan mereka adalah tanggungjawab bersama.

Jika Malaysia mahu melahirkan juara berterusan, sistem kebajikan atlet mesti bersifat mampan dan menyeluruh. Kita tidak boleh hanya mengharapkan semangat juang tanpa menyediakan jaringan sokongan yang adil. Ganjaran yang terancang hari ini adalah jaminan kepada kejayaan esok.