sukan

Garces masih berbisa walaupun empat bulan berehat

KUALA LUMPUR: Selepas Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel, giliran Facundo Garces pula membuat kemunculan semula bersama kelabnya selepas hukuman penggantungan mereka ditangguhkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Garces tampil secara kompetitif buat kali pertama dengan dia masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua ketika kelabnya, Deportivo Alaves merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Espanyol dalam aksi La Liga, awal pagi tadi.

Meskipun tidak beraksi sejak September tahun lalu akibat hukuman dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), namun persembahan tonggak pertahanan berusia 26 tahun itu tampak tidak ‘berkarat’.

Malah, pengendali Alaves, Eduardo Coudet memuji prestasi yang ditampilkan Garces sambil menyifatkan dia sangat penting untuk mengukuhkan pasukan terutama di posisi pertahanan.

Coudet menjelaskan, walaupun Garces hanya dimasukkan pada babak kedua, namun dia berjaya menghalang pasukan lawan daripada melakukan sebarang ancaman bahaya sepanjang 45 minit beraksi.

“Garces memiliki mentaliti luar biasa. Kita sangat merindui kelibatnya kerana dia sangat penting khususnya di bahagian benteng pasukan,” katanya.

Garces tidak beraksi secara kompetitif kira-kira empat bulan selepas dia bersama enam lagi pemain warisan termasuk Figueiredo, Irazabal, Hevel, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca digantung 12 bulan oleh FIFA sejak September lalu atas dakwaan isu pemalsuan dokumen.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Isnin lalu bagaimanapun memaklumkan bahawa CAS membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan (Stay of Execution) yang dikemukakan oleh tujuh pemain terbabit.

Keputusan CAS itu bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan dikenakan oleh FIFA sebelum ini ditangguhkan buat sementara waktu dan mereka dibenarkan untuk meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat.

Terdahulu, Figueiredo, Irazabal dan Hevel kembali beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika aksi Kejuaraan Kelab ASEAN menentang Shan United, kelmarin.

Nasib tujuh pemain terbabit bakal diketahui pada 26 Februari ini dengan CAS akan melaksanakan pendengaran kes mereka secara bersemuka ibu pejabat CAS di Lausanne.