sukan

Garces semakin menyinar di La Liga

KUALA LUMPUR: Nama pemain warisan negara, Facundo Garces terus menjadi bualan hangat peminat bola sepak tanah air susulan prestasi cemerlangnya bersama kelab La Liga di Sepanyol, Deportivo Alaves.

Hasil tinjauan Arena Metro di media sosial, pertahanan kental Harimau Malaya itu menerima pujian ramai selepas tampil konsisten di Sepanyol dan menjadi tonggak utama dalam kebangkitan skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.

Garces, 25, mencuri tumpuan dalam debut bersama skuad kebangsaan apabila membantu Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027, sekali gus mendahului Kumpulan F dengan enam mata.

Manakala di peringkat kelab, dia tampil cemerlang dalam tujuh aksi terakhir bersama Alaves, termasuk aksi terbaik menentang Real Sociedad dengan rekod tanpa bolos dan penilaian 7.4 mata daripada Sofascore.

Pemain tinggi lampai itu turut mencuri tumpuan apabila berjaya merantai dua bintang sensasi, Julian Alvarez dan Antoine Griezmann sepanjang 90 minit ketika berdepan Atletico Madrid.

Musim ini, Garces sudah merekodkan 10 penampilan dengan 676 minit permainan dalam saingan 2024-25, sekali gus membuktikan peranannya sebagai aset utama kelab La Liga itu.

Di pentas antarabangsa, gandingan Garces bersama Matthew Davies dan Jon Irazabal menperkukuh skuad kendalian Peter Cklamovski yang masih belum tewas dalam aksi kompetitif tahun ini.

sumber:- HM

Menjelang kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 Ogos ini, menentang Iran, Afghanistan dan Tajikistan, Garces dijangka terus menjadi sandaran utama di benteng Harimau Malaya.