KUALA LUMPUR: Jumlah kehadiran penyokong ke stadium dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) menjadi tumpuan sejak kebelakangan ini selepas ia dikatakan mengalami kemerosotan.
Banyak gelanggang mencatat kehadiran penonton yang tidak sepadan dengan kapasiti stadium, sekali gus mengundang kebimbangan mengenai masa depan kancah bola sepak tempatan.
Malah, ada yang menyifatkan aksi Liga Super dihadiri penyokong ‘halimunan’ dan tidak kurang juga beberapa gelanggang dilabel sebagai ‘stadium berhantu’ susulan banyak bangku penonton kosong ketika perlawanan berlangsung.
Situasi itu turut menambah masalah buat kebanyakan kelab yang ketika ini sedang ‘sakit’ dengan kemelut kewangan dalam menampung kos perbelanjaan tinggi menguruskan pasukan.
Jumlah kehadiran penyokong atau penonton bukan sahaja memberi kesan kepada kantung pasukan dari aspek hasil jualan tiket, malah ia juga mempengaruhi minat penaja untuk membuat tajaan.
Melihat kepada trend kehadiran penonton untuk saingan Liga Super, kebanyakan venue perlawanan mencatatkan kehadiran tinggi apabila pasukan tuan rumah berdepan juara bertahan 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Namun, situasi pelik berlaku berlaku pada 25 Januari lalu apabila aksi antara jaguh Pantai Timur, Terengganu FC (TFC) dan JDT di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin hanya merekodkan 2,046 penonton – jumlah paling sedikit berbanding pasukan lain yang melayan kunjungan Harimau Selatan.
Jumlah itu juga terlalu rendah berdasarkan stadium berkenaan berkapasiti 50,000 penonton dan perlawanan itu berlangsung lapan hari selepas skuad Penyu tewas 0-4 kepada Harimau Selatan dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di gelanggang sama.
Pertembungan naib juara Piala FA, Selangor dan finalis Piala Malaysia, Sri Pahang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sabtu lalu juga hanya mencatatkan 3,023 kehadiran penonton.
Jumlah itu boleh dikatakan sedikit kerana berdasarkan nama besar dimiliki kedua-dua pasukan itu sepatutnya menarik lebih ramai kehadiran penonton meskipun stadium berkenaan hanya berkapasiti kira-kira 10,000 penonton.
Berdasarkan statistik, kehadiran penonton terendah yang dicatatkan dalam Liga Super musim ini adalah ketika aksi PDRM menentang Kuching City di Stadium Majlis Perbandaran Selayang yang hanya dihadiri 117 penonton.
Rekod tertinggi pula dicatatkan ketika JDT melayan kunjungan TFC di Stadium Sultan Ibrahim dengan merekodkan 21,365 kehadiran penonton.
Setakat ini, gelanggang Negeri Sembilan, Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi mencatat jumlah penonton paling sedikit bagi keseluruhan apabila hanya merekodkan 11,690 penonton.
Bagaimanapun, terdapat pasukan seperti Kelantan Darul Naim (KDN) yang terpaksa ‘menumpang’ beberapa aksi tempat sendiri mereka di gelanggang lawan susulan Stadium Sultan Muhammad IV menjalani proses naik taraf sebelum ini.
Ia termasuk mereka terpaksa menggunakan Stadium Sultan Ibrahim bagi aksi menentang JDT yang mana perlawanan itu merekodkan 12,570 kehadiran penonton.
Bukan sahaja juara di atas padang, JDT turut menjuarai rekod kehadiran penyokong tertinggi keseluruhan yang mana skuad Harimau Selatan merekodkan 135,860 penonton di Stadium Sultan Ibrahim.
Jumlah keseluruhan kehadiran penonton bagi semua aksi Liga Super setakat ini adalah 504,890, namun tidak semua pasukan sudah mengharungi perlawanan yang sama banyak.
Berdasarkan statistik musim lalu, jumlah kehadiran keseluruhan penonton bagi semua perlawanan Liga Super adalah 969,985 penonton dengan JDT menjadi penyumbang terbesar dengan merekodkan 229,097 penonton.