KUALA LUMPUR: Pemain sayap Selangor, Alvin Fortes tidak menyimpan hasrat untuk mencabar gelaran penjaring terbanyak bagi skuad Gergasi Merah musim ini.
Sebaliknya, tonggak berusia 30 tahun itu lebih memberikan fokus untuk membantu skuad kendalian Katsuhito Kinoshi meraih keputusan positif dalam perlawanan akan datang.
Dia berkata, keputusan positif yang konsisten amat penting buat Selangor dalam usaha untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam kelompok dua teratas saingan Liga Super.
“Saya mahu bekerja keras untuk pasukan dan jika saya menjaringkan gol, ia menjadi perkara penting buat pasukan dan bagus juga untuk saya.
“Kami perlu bergerak dari satu langkah ke satu langkah dan meraih mata penting untuk kekal berada di kedudukan kedua liga.
“Terima kasih kepada penyokong Selangor. Kami bekerja keras dan kami fokus kepada perlawanan seterusnya. Saya harap semuanya baik untuk perlawanan akan datang,” katanya ketika temu bual bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Fortes muncul wira Selangor apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-63 membantu naib juara Piala FA itu meraih kemenangan 1-0 ke atas Kuala Lumpur (KL) City dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Ahad lalu.
Jaringan itu membolehkan Fortes berkongsi kedudukan penjaring terbanyak untuk pasukan Selangor bagi saingan Liga Super bersama Ronnie Fernandez selepas masing-masing meledak lapan gol.
Mereka bagaimanapun berada di kedudukan keempat carta penjaring Liga Super dan ketinggalan jauh dengan 15 gol di belakang penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva.