Gergasi Merah gagal raih tiga mata berdepan pasukan belasahan di Manila

Kuala Lumpur: Selangor FC (SFC) mensia-siakan peluang mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan A saingan Kejuaraan Kelab Asean (ACC) apabila sekadar seri 1-1 dengan Cebu FC di Stadium Memorial Rizal di Manila, hari ini.

Keputusan seri itu nyata merugikan Red Giants yang sewajibnya menuai tiga mata penuh ketika Cebu FC boleh dianggap pasukan belasahan dalam Kumpulan A.

Sebaliknya kejayaan Cebu FC mengikat SFC membolehkan mereka menggenggam satu mata pertama selepas tumbang dua kali sebelum ini.

Pelawat menguasai aksi sejak awal dengan tuan rumah lebih banyak bertahan sambil sesekali melancarkan serangan balas pantas.

Begitupun pemain tuan rumah kendalian Tomasito Ramos terlebih dulu menghadirkan bahaya menerusi percubaan Abdulfatohi Khudoidodzoda di minit 15 namun Kalamullah Al Hafiz berjaya menghalang.

Percubaan benar-benar bahaya Red Giants hanya hadir di minit 35 melalui sepakan percuma tetapi ia sedikit tersasar.

Bersambung babak kedua, Cebu FC hanya memerlukan seminit untuk mendahului hasil tandukan Abou Mouhamed Sy yang menyambut sepakan sudut Esrom Daniel bagi menewaskan Kalamullah.

Begitupun SFC bangkit dan berjaya memadam kelebihan itu hasil jaringan Willian Lira selepas menolak masuk percubaan Picha Autra di minit 54.

Pengendali sementara SFC, Christophe Gamel memasukkan dua tenaga baharu Faisal Halim dan Chrigor Moraes bagi meningkatkan asakan di bahagian depan.

Moraes hampir meletakkan pelawat di depan di minit 76 namun tandukannya sekadar melintasi depan pintu gol tuan rumah untuk melegakan kem Cebu FC.

SFC terus hampa pada minit 82 apabila percubaan voli Picha terkena tiang gol ketika penjaga gol Cebu FC, Rami Jeridi sudah pun tertewas.

Usaha SFC memburu gol kemenangan tidak berjaya dan keputusan seri itu jelas merugikan pelawat.