KUALA LUMPUR: Tindakan mendesak supaya Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletak jawatan susulan isu dokumentasi tujuh pemain warisan dianggap ‘tidak adil’ buat masa ini.
Sebaliknya, semua pihak diharap bersabar dan menunggu proses termasuk siasatan pihak berkuasa serta rayuan FAM di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membabitkan kes itu selesai.
Sumber daripada salah seorang EXCO FAM menjelaskan, beliau percaya barisan kepemimpinan badan induk itu bakal mengambil langkah yang sewajarnya dan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat EXCO selepas semua proses berkenaan selesai.
“Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) sudah buat siasatan dan mereka mencadangkan FAM buat laporan polis. Jadi, FAM pun sudah buat laporan dan pihak polis juga sedang melakukan siasatan mereka.
“Jadi, tunggu siasatan itu selesai untuk kita lihat hasil siasatan. Selepas itu, apa pun nanti keputusannya, mesyuarat EXCO akan putuskan,” kata sumber itu.
Terdahulu, pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim dilaporkan mencadangkan EXCO FAM meletakkan jawatan secara terhormat bagi membina semula barisan kepimpinan baharu badan induk itu, sekali gus membolehkan perubahan dilakukan secara total.
Cadangan berkenaan dibuat Zakaria sambil menegaskan kepemimpinan tertinggi badan induk itu perlu mengambil tanggungjawab bersama susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan.
FAM sebelum ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya, Rabu lalu.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan tindakan berkenaan dibuat selaras dengan syor IIC yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, selepas jawatankuasa berkenaan menyiapkan siasatan mereka baru-baru ini.
Selain membuat laporan polis, IIC menerusi laporan setebal 59 muka surat turut mencadangkan FAM membuat pengawasan dan reformasi struktur serta melakukan langkah pencegahan dan pemulihan kredibiliti.
Pada September lalu, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan hukuman penggantungan 12 bulan dan denda CHF2,000 (RM10,000) terhadap Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel, manakala FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta).
FAM sebelum ini juga mengesahkan sudah mengemukakan rayuan kepada CAS berhubung hukuman yang dikenakan oleh FIFA itu.