KOTA BHARU: Pengalaman bersama skuad kebangsaan menjadi peransang buat Fazrul Amir Md Zaman membantu Kelantan Darul Naim FC menjinakkan Perak FC dalam aksi pertama Piala Malaysia 2024 pusingan 16,esok.
Fazrul berkata, dia berharap dapat mengekalkan kejayaan bersama Harimau Malaya menewaskan Laos 3-1 dan mengikat India 1-1.
Katanya, pengalaman sebagai pemain gantian itu akan digunakan sebaiknya bagi menentang Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
“Apa yang penting momentum saya dapat diteruskan bagi membantu pasukan meraih bekalan selesa sebelum perlawanan kedua nanti.
“Latihan positif pasukan juga semakin meningkat, saya yakin pasukan mempunyai peluang sama rata untuk mara ke pusingan seterusnya,” katanya.
Pemain sayap ini turut berharap rakan sepasukan dapat berhati-hati dan tidak terburu-buru memandangkan skuad ‘The Bos Gaurus’ pernah menewaskan mereka pada musim ini.
“Kami kena berjuang habis-habisan dan cuba dapatkan bekalan agar perlawanan kedua lebih mudah dan kurang tekanan,” katanya.
Pemain yang digelar Ghaddar ini melakar debut bersama skuad Harimau Malaya selepas enam tahun pemain Kelantan tidak beraksi mewakili Malaysia.
sumber:-BH
Kali terakhir pemain Kelantan menyarung jersi kebangsaan menerusi Shafiq Sharudin ketika menentang Fiji pada tahun 2018.