Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan badan induk itu sudah mengemukakan cadangan rasmi kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk mengubah jadual Terbuka Malaysia dalam kalendar Jelajah Dunia, dengan hasrat ia tidak lagi menjadi kejohanan pembuka musim.
Setiausaha Agung BAM, Kenny Goh, berkata cadangan berkenaan melibatkan penganjuran Terbuka Malaysia pada pertengahan tahun iaitu sekitar Mei, manakala Masters Malaysia pula dicadangkan diawalkan ke Januari.
Menurutnya, cadangan itu dikemukakan bersama bidaan BAM untuk mengekalkan status Terbuka Malaysia sebagai kejohanan Super 1000 bagi kitaran empat tahun akan datang bermula 2027.
“Untuk kitaran baharu, kami sudah hantar permohonan pada Mei tahun lalu berserta dengan bidaan untuk mengekalkan status Super 1000 untuk Terbuka Malaysia.
“Namun, semuanya bergantung kepada kelulusan BWF. Kitaran sekarang memang tidak boleh diubah kerana kalendar disusun empat tahun sekali,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini.
Kontrak BAM sebagai penganjur Terbuka Malaysia bertaraf Super 1000 akan berakhir tahun ini, selepas status berkenaan diberikan bermula 2023 yang menyaksikan kejohanan itu dijadikan kejohanan pembuka tirai musim.
Kenny menjelaskan, antara justifikasi utama BAM mengemukakan cadangan itu adalah bagi mengelakkan kejohanan bertaraf tertinggi dianjurkan terlalu awal pada awal musim.
“Kalau boleh, kita tak nak buat kejohanan Super 1000 di awal tahun. Itu juga antara permintaan penaja kami,” katanya.
Semalam, BH Sukan melaporkan pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia, menggesa agar jadual Terbuka Malaysia pada masa depan dirombak dan tidak lagi dijadikan kejohanan pembuka musim bagi memberi ruang pemulihan lebih ideal kepada pemain elit dunia.
Aaron yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik berpandangan, ramai pemain utama baru sahaja menamatkan kempen panjang musim sebelumnya termasuk beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF pada pertengahan Disember, sekali gus menyukarkan proses pemulihan.
Beliau turut mencadangkan agar permulaan musim dimulakan dengan kejohanan bertaraf lebih rendah seperti Super 300 atau Super 500 sebelum beralih kepada kejohanan utama seperti Super 1000.
Dalam perkembangan lain, Kenny turut memaklumkan perubahan struktur kejurulatihan skuad kebangsaan dijangka diumumkan pada Mesyuarat Ahli Majlis BAM, Sabtu ini.
Difahamkan, Datuk Tey Seu Bock akan kembali diberi peranan membimbing pemain perseorangan lelaki senior, manakala tugasnya sebagai ketua jurulatih perseorangan remaja kebangsaan bakal digantikan bekas jurulatih Lee Zii Jia, Yeoh Kay Bin, yang akan dibawa masuk sebagai jurulatih.
Selain itu, bekas pemain beregu lelaki negara, Mohd Zakry Abdul Latif, turut difahamkan akan menyertai barisan kejurulatihan sebagai jurulatih beregu wanita bagi membantu Rosman Razak, yang kini memikul tanggungjawab sebagai ketua jurulatih.