sukan

Gimenez dedah punca kekalahan NSFC kepada Kelantan City

Pengendali Negeri Sembilan FC, Daniel Gimenez Alcaniz tidak menolak kemungkinan sikap memandang rendah kemampuan Kelantan City antara faktor yang menyumbang kekalahan 2-0 pasukannya dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA, malam tadi.

Gimenez mengakui pasukan tidak memberikan penghormatan sewajarnya kepada pasukan lawan yang mempamerkan disiplin lebih tinggi dan memanfaatkan aksi di laman sendiri.

Kelantan City mengejutkan pasukan Liga Super itu seawal minit ketujuh hasil tandukan Ahmad Nazri Muhamad sebelum Emmanuel Ikechukwu menggandakan kelebihan pada minit ke-83.

“Realitinya Kelantan (City) bermain lebih baik daripada kami, mereka berhak menang, kami bermain bukan sangat teruk tetapi mungkin kami terlalu yakin, tidak menghormati lawan seperti mereka sepatutnya dihormati.

“Cara bermain kami tidak mudah, jika diambil kira faktor cuaca (hujan), juga tidak membantu, kami berhak kalah dan mereka (Kelantan City) berhak menang,” kata Gimenez selepas sidang media tamat perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, di sini.

Gimenez berkata, status pasukan Liga A1 tidak sepatutnya menjadi ukuran kerana mereka bermain 11 pemain dan ditentukan mentaliti dan prestasi pemain.

Beliau berkata, sikap pemain adalah paling utama, pemain mempunyai kualiti dan pasukan akan memberikan persembahan lebih baik pada aksi timbal balik di Paroi.

Bagi pembantu jurulatih Kelantan City, Wanderley Machado Da Silva, pasukannya sentiasa bersedia menghadapi lawan tanpa mengira status atau kedudukan lawan.

Katanya, kemenangan itu menjadi bukti anak buahnya mampu memberi persaingan kompetitif dalam saingan liga musim ini.

“Harap persembahan begini diteruskan dan kami jadi lebih bagus untuk perlawanan akan datang untuk mencapai sasaran kami,” kata Wanderley.