FRANKFURT: Jaringan penyerang Belgium, Romelu Lukaku dibatalkan menerusi teknologi bunyi ketika aksi Kejuaraan Eropah 2024 menentang Slovakia, malam tadi.
Teknologi yang mengesan frekuensi bunyi digunakan dengan pemain Belgium, Lois Openda didapati menggunakan tangan untuk mengawal bola sebelum melakukan hantaran lintang kepada Lukaku.
Ketika Slovakia mendahului menerusi gol Ivan Schranz, Lukaku menyangkakan dia sudah meledak jaringan penyamaan buat Belgium pada babak kedua.
Namun, jaringan itu tidak dikira dan ia membolehkan Slovakia mengutip tiga mata.
Pengadil, Umut Meler membuat rujukan dengan Video Bantuan Pengadil (VAR) bagi menilai insiden itu dengan pegawai memutuskan lengan Openda tidak berada dalam posisi semula jadi.
Satu lagi jaringan Lukaku turut dibatalkan sebelum itu.
Sebelum kejohanan bermula, penggunaan teknologi yang menyerupai snickometer akan digunakan pada pertandingan yang berlangsung di Jerman itu.
Ia sebahagian daripada teknologi baharu yang digunakan dalam Euro 2024 disebut “Connected Ball technology” di mana ada satu cip khas dipasang dalam bola rasmi kejohanan.
Justeru, tidak hairan ada peminat turut terkejut dengan adanya bar gelombang bunyi terpampang pada skrin VAR yang menunjukkan terdapat sentuhan pada bola.
Teknologi itu sebelum ini digunakan dalam sukan kriket untuk mengesan frekuensi bunyi dan membantu menentukan sama ada dua objek itu bersentuhan antara satu sama lain.
sumber:-BH
Ia digunakan buat pertama kali dalam sukan kriket sekitar tahun 90an di mana ia boleh dianalisis menerusi bunyi dan video ulang tayang untuk menentukan sama ada bola terkena kayu pemukul. -AGENSI