KUALA LUMPUR: Pendatang baharu Liga A1, Gombak FC menyimpan impian besar untuk mencipta kejutan dalam liga separuh profesional itu, musim ini.
Ketua jurulatih Gombak FC, Shahrom Kalam menjelaskan fokus utama pasukannya ketika ini adalah untuk memberi impak dan cabaran sengit kepada pasukan yang lebih berpengalaman.
Bekas pemain kebangsaan itu menganggap Kuala Lumpur Rovers, Melaka FC dan juara bertahan musim lalu, Imigresen FC sebagai pencabar utama dalam Liga A1.
“Secara jujur, fokus saya adalah untuk memastikan pasukan dapat memberi impak dan melakar kejutan dalam industri bola sepak terutama di pentas Liga A1.
“Mengenai pencabar liga, saya rasa ada tiga kelab yang layak dilabel pilihan seperti KL Rovers, Melaka FC dan Imigresen FC,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jersi Gombak FC, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu adalah Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan Timbalan Presiden FAM merangkap Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi.
Sementara itu, Presiden Gombak FC, Muadzam Shariff meletakkan sasaran untuk pasukannya layak ke saingan Piala Malaysia selain berusaha meraih slot ke kempen Liga Super musim depan.
sumber:-BH
“Fokus kita adalah untuk memastikan pasukan layak ke kempen Piala Malaysia dan selepas itu boleh fikirkan untuk layak ke saingan MFL (Liga Bola Malaysia),” katanya.