sukan

Gordic kesal KDA FC masih membisu

ALOR SETAR: Milos Gordic meluahkan rasa kesal atas sikap pengurusan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang masih membisu berkaitan maklumat lebih terperinci berhubung isu pembayaran gaji tertunggak musim lalu antara pihak pengurusan dan dirinya hingga kini.

Penyerang Sang Kenari musim lalu yang pulang ke Serbia selepas tamat tempoh Liga Super pada April lalu berkata, ketiadaan penjelasan khusus berkaitan hal berkenaan semakin memberi kesan terhadap kewangannya serta perancangan baharu untuk memulakan kembali saingan musim 2025 hingga 2026.

“Saya dimaklumkan pihak pengurusan Sang Kenari mengadakan sesi pertemuan bersama bekas pemain bagi membincangkan isu pasukan pada awal bulan Jun ini, namun pihak pengurusan masih belum menjelaskan secara terperinci mengenai tarikh serta kaedah pembayaran gaji tertunggak yang akan dibuat.

“Saya menyokong usaha kelab yang kini dalam proses menyertai Liga Semi Pro A1 musim baharu, namun pada masa sama, saya juga berharap kelab dapat menjelaskan perancangan pembayaran gaji dengan lebih mendalam dan khusus supaya saya dapat membuat perancangan menuju musim baharu ini.

“Saya merasa pelik dengan keupayaan syarikat yang mampu melabur untuk menyertai Liga A1 musim depan sedangkan tunggakan gaji musim lalu pun masih belum diselesaikan sepenuhnya hingga kini,” katanya.

Milos yang kini belum terikat untuk menyertai mana-mana pasukan untuk musim baharu ini juga berkata, harapannya untuk kembali beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan masih tinggi walaupun berdepan pengalaman pahit berkaitan isu tunggakan gaji dirasakan cukup sukar buatnya.

sumber:- BH

“Saya tetap melihat potensi untuk kembali ke saingan Liga M musim baharu ini namun buat masa ini saya belum membuat rundingan dengan mana-mana kelab di Malaysia dan jika ada peluang akan saya pertimbangkan,” katanya.