sukan

Guardiola lega City tersingkir awal

ORLANDO: Pep Guardiola menyifatkan penyingkiran awal Manchester City dari Piala Dunia Kelab sebagai ‘peluang keemasan’ untuk pemainnya berehat, selepas musim yang panjang dan meletihkan sejak Ogos tahun lalu.

City ditunjukkan jalan keluar apabila tumpas 3-4 dalam masa tambahan kepada kelab Arab Saudi, Al Hilal pada aksi pusingan 16 terbaik di Orlando, sekali gus menamatkan kempen musim 2024/25 yang hambar buat juara England itu.

Namun di sebalik kekecewaan, Guardiola memilih untuk melihatnya dari sudut positif.

“Kami mahu terus bersaing, sudah tentu. Tapi sekarang, ini masanya untuk berehat… rehatkan badan dan minda untuk musim baharu,” katanya yang menyedari tekanan melampau selepas pasukannya mengharungi 61 perlawanan sejak Ogos tahun lalu.

“Jadual sangat gila. Kami sudah terbiasa tiada cuti. Tapi rehat ini amat berharga.”

City sebelum itu mempamerkan prestasi mantap dengan tiga kemenangan di peringkat kumpulan dan 13 gol dijaringkan, namun dihentikan oleh skuad Al Hilal yang dibarisi pemain bintang dan dibimbing jurulatih baharu, Simone Inzaghi.

Bernardo Silva turut mengakui rehat ini perlu walaupun mereka tetap kecewa gagal menjulang trofi.

“Tiada siapa yang mahu kalah. Tapi kami penat. Bila masuk satu kejohanan, kami serius dan mahu menang… tapi sekarang mungkin ini yang terbaik buat kami,” kata pemain tengah Portugal itu.

City dijangka kembali beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada 16 Ogos menentang Wolverhampton, memberikan mereka masa lebih enam minggu untuk pulih, termasuk Rodri yang masih bergelut dengan kecederaan.

“Rodri baru mula pulih, tapi tadi dia rasa tidak selesa semula. Kami akan pantau,” kata Guardiola.

“Kami hanya dapat peluang ke Piala Dunia Kelab setiap empat tahun. Kami serius… tapi sekarang kami perlu pulang dan siapkan diri untuk musim baharu.”