MANCHESTER: Erling Haaland menjaringkan gol menarik ketika kemenangan 5-0 ke atas Sparta Prague dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah di Etihad.
Penyerang Norway itu meledak dua gol, tetapi gol pertamanya dengan tendangan di udara menggunakan tumit, ternyata luar biasa.
Ketika ditanya sama ada gol berkenaan adalah perkara biasa buat Haaland, pengendali Man City, Pep Guardiola berkata: “Saya akan katakan tidak. Bukan untuk manusia, jadi tidak.”
Gol berkenaan mengimbau kembali jaringan pemain 24 tahun itu ketika menentang Borussia Dortmund pada tahun 2022.
“Saya baru bercakap dengannya, jika saya cuba melakukannya pasti cedera di pangkal paha. Saya tidak tahu bagaimana dia melakukannya, mungkin kerana kakinya panjang,” kata rakan sepasukan Haaland, Phil Foden.
Malah pengendali pasukan lawan, Lars Friis turut kagum dengan persembahan Haaland, yang kini sudah meledak 44 gol Liga Juara-Juara dalam 42 perlawanan.
Dia kini menyamai rekod Didier Drogba di tangga ke-16 senarai penjaring sepanjang zaman kejohanan tertinggi Eropah itu, walaupun Drogba mengharungi 92 perlawanan untuk mencapai jumlah itu.
Guardiola turut kagum dengan kesabaran Haaland yang dikawal ketat pertahanan Sparta. Dia turut terlepas beberapa peluang menerusi tandukan.
“Saya tahu ia bukan mudah baginya, kerana mereka bertahan di dalam kotak, tidak ada ruang, tiga pertahanan tengah mengawalnya, dua pemain tengah bertahan rapat dengannya.
“Setiap kali hantaran lintang dilakukan, mereka memeluk dan menolaknya, jadi ia bukan mudah. Saya sering katakan kepadanya, sabar, sabar, sentiasa positif.
“Dia boleh melakukan 15, 20 sentuhan, tetapi mempunyai tujuh, lapan peluang. Dia pemain yang sangat berbakat,” katanya.
sumber:-BH
Phil Foden, John Stones dan Matheus Nunes turut menjaringkan gol untuk membantu Man City melonjak ke tangga ketiga dengan tujuh mata selepas tiga perlawanan, manakala Sparta mengumpul empat mata. – REUTERS