KUALA LUMPUR: Penyerang skuad bola sepak kebangsaan, Romel Morales menyifatkan kejayaan menjulang Pestabola Merdeka 2024 sebagai hadiah buat seluruh penyokong setia Harimau Malaya.
Morales muncul wira skuad negara apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-33 membantu Harimau Malaya menewaskan Lubnan 1-0 dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Harimau Malaya menamatkan penantian 11 tahun untuk kembali menjulang trofi Pestabola Merdeka dengan kali terakhir gelaran itu diraih pada 2013 ketika skuad bawah 23 (B-23) tahun negara menewaskan Myanmar 2-0 di pentas akhir.
Morales yang berstatus pemain naturalisasi menegaskan kemenangan itu adalah hasil usaha keras seluruh pasukan meskipun terpaksa berdepan detik sukar termasuk ketiadaan Ultras Malaya yang memboikot kejohanan itu.
“Saya sungguh berbangga dan gembira dengan pasukan dan jika dilihat sememangnya kami layak untuk menang kerana sudah bekerja keras sejak hari pertama lagi.
“Ini adalah hadiah kepada semua pihak terutamanya kepada penyokong setia yang sentiasa bersama pasukan kebangsaan.
“Sejujurnya agak menyedihkan kerana tindakan itu (boikot), namun kami tetap fokus setiap perlawanan dan sekarang kemenangan adalah untuk penyokong,” katanya.
Kemenangan ke atas pasukan ranking 116 dunia itu menjadi detik manis buat Vicente apabila menjulang trofi pertama hanya selepas dua aksi mengendalikan Harimau Malaya.
sumber:-BH
Malah, kejayaan itu turut menyaksikan Harimau Malaya menebus kekecewaan tahun lalu selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan di pentas akhir yang mana ketika itu Vicente bertindak sebagai penolong kepada Kim Pan Gon.