sukan

Haikal berharap kecederaan Hon Jian tak serius

Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri optimis dapat beraksi di Terbuka Malaysia sambil berharap kecederaan dialami rakan gandingan, Choong Hon Jian tidak serius agar mereka boleh bangkit meraih sekurang-kurangnya satu gelaran, tahun depan.

Haikal mengakui Hon Jian yang mengalami koyakan otot abdomen kira-kira lima sentimeter, sedikit mengganggu momentum, tetapi ia tidak menjejaskan fokusnya sendiri.

“Hon Jian mula cedera masa separuh akhir di Finland. Selepas berehat dan menarik diri beberapa kejohanan, kecederaan itu datang semula ketika Terbuka Jepun.

“Keadaan dia agak baik, tetapi semasa Terbuka Australia, dia mengadu sakit di kawasan lain dan hampir terpaksa tarik diri.

“Hari ini dia sudah pun pergi mendapatkan rawatan di ISN (Institut Sukan Negara). Harap-harap tak serius dan kami dapat main di Terbuka Malaysia Januari depan,” katanya.

Kali terakhir dia beraksi di Terbuka Malaysia adalah bersama Arif Junaidi pada 2022 ketika kejohanan itu masih berstatus Siri Super 750.

Haikal berkata, tahun 2025 tidak memihak kepada dia dan Hon Jian, justeru beliau menetapkan sasaran tahun depan untuk kembali meraih gelaran dan memperbaiki ranking selepas kecederaan menjejaskan prestasinya.

“Banyak perkara tak lancar sebab kecederaan, memang ganggu momentum dan prestasi jatuh.

“Tapi saya ambil sebagai pengalaman serta iktibar dan saya harap dapat gelaran semula dan ranking lebih baik tahun depan.

“Sebelum ini ranking tertinggi saya dengan Hon Jian ialah 18, selepas itu cedera dan turun ke hampir 50, jadi saya nak baikinya untuk 2026,” ujarnya.

Berbekalkan persiapan rapi dan fokus penuh, Haikal tidak sabar memulakan langkah baharu sambil menunggu pemulihan sepenuhnya bersama Hon Jian untuk menghadapi cabaran Terbuka Malaysia dan kejohanan seterusnya, tahun depan.