sukan

Halangan terbesar Harimau Malaya ke Piala Asia

KUALA LUMPUR: Vietnam disifatkan bakal menjadi penghalang terbesar buat skuad Harimau Malaya pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang bakal bermula Mac tahun depan.

Situasi itu diakui kapten skuad kebangsaan, Dominic Tan yang melihat mereka perlu mengatasi cabaran pasukan di ranking ke-116 dunia itu sekiranya mahu melayakkan diri ke pentas berprestij Asia itu untuk kali kedua berturut-turut.

Malah, pertahanan Sabah FC itu enggan memandang ringan cabaran pasukan lain yang turut diundi dalam Kumpulan F selain Vietnam iaitu Nepal (175) dan juga Laos (186).

“Sudah tentu semua aksi antarabangsa bukanlah perlawanan yang mudah terutamanya Vietnam yang dianggap sebagai salah satu kuasa besar bola sepak di rantau Asia.

“Ini adalah cabaran buat semua pemain yang akan membawa misi besar untuk tampil cemerlang sepanjang proses kelayakan nanti,” kata Dominic pada sidang media pra perlawanan menentang Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Sebagai rekod, skuad bimbingan Pau Marti Vicente terpaksa mengharungi pusingan terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 selepas gagal melayakkan diri ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.

Sebanyak 24 pasukan akan berentap untuk merebut enam tiket terakhir ke saingan yang akan berlangsung di Arab Saudi itu.

sumber:-BH

Mereka akan dibahagikan kepada enam kumpulan dan hanya juara kumpulan akan mendapat slot ke Piala Asia 2027 sekali gus menyertai 18 lagi pasukan yang layak secara merit.