sukan

Hamidin kembali dalam FAM sebagai Presiden Kehormat?

KUALA LUMPUR: Adakah Tan Sri Hamidin Mohd Amin bakal kembali ke dalam struktur utama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan kali ini sebagai Presiden Kehormat?

Desas-desus mengenai pelantikan bekas Presiden FAM itu kembali bertiup kencang menjelang Kongres Luar Biasa FAM pada 30 Jun ini, yang bakal menyaksikan beberapa agenda besar diketengahkan.

Spekulasi semakin hangat apabila kelibat Hamidin terus kelihatan di pelbagai acara rasmi bola sepak, termasuk perlawanan Malaysia menentang Vietnam dalam Kelayakan Piala Asia 2027, baru-baru ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malah, pembabitan aktif Hamidin dalam beberapa program bersama FAM menguatkan lagi dakwaan bahawa beliau bakal kembali memainkan peranan lebih rasmi dalam badan induk itu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman ketika diminta mengulas hanya menyatakan kongres kali ini bertujuan meluluskan penubuhan Jawatankuasa Bebas dan Badan Kehakiman, termasuk Jawatankuasa Tatatertib, NDRC serta Jawatankuasa Pemilihan.

Namun begitu, beliau tidak menafikan kemungkinan wujud agenda lain termasuk soal pelantikan Presiden Kehormat.

“Isu itu kita tunggu Kongres nanti,” katanya ringkas.

Noor Azman turut mengakui pengalaman luas dimiliki Hamidin dalam urus tadbir bola sepak di peringkat tempatan dan antarabangsa menjadikannya antara tokoh yang sentiasa dirujuk.

“Beliau ada hubungan kuat dengan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa), AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), AFF (Persekutuan Bolasepak Asean) dan juga pihak kerajaan. Saya sendiri masih merujuk pandangan beliau dalam banyak perkara,” katanya.

Mengikut rekod, Hamidin kini masih memegang jawatan sebagai Ahli Majlis FIFA, selain aktif dalam struktur AFC dan AFF, menjadikannya individu penting dalam hubungan bola sepak antarabangsa Malaysia.

Menurut Noor Azman, atas kapasiti itu, Hamidin sering diundang ke majlis utama FAM, bukan sekadar sebagai tetamu namun lebih kepada figura yang dihormati seluruh ekosistem bola sepak negara.

sumber:- HM

“Beliau mungkin tidak lagi presiden, namun pengaruhnya masih besar. Kalau FAM nak guna kepakaran itu secara rasmi, pelantikan sebagai Presiden Kehormat bukan perkara mustahil,” katanya.