KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disaran menghantar skuad anak tempatan tanpa pemain naturalisasi bagi menghadapi Piala ASEAN 2024 yang berlangsung Disember ini.
Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menyifatkan kejohanan yang sebelum ini dikenali sebagai Piala AFF itu menjadi medan terbaik untuk memberi pendedahan dan melihat pemain tempatan terutama bintang muda menonjolkan bakat mereka.
Malah, Jamal menegaskan bahawa FAM tidak perlu risau dengan kritikan daripada netizen sekiranya skuad negara yang dibarisi pemain tempatan dan muda tidak meraih keputusan yang baik dalam kejohanan itu.
Beliau berkata, netizen atau peminat harus bijak dalam melontarkan kritikan membina untuk kemajuan bola sepak negara, bukannya pandai bersorak ketika menang dan mengutuk apabila Harimau Malaya kalah.
“Hantar pemain muda dan yang berumur pun tak apa asalkan pemain tempatan. Kita sudah tengok pemain naturalisasi, tapi pemain tempatan kita belum tengok lagi. Kita hanya banyak tengok Arif Aiman Hanapi sahaja sebelum ini.
“Walaupun FAM kata kalau letak semua pemain tempatan, nanti kena hentam (kritik), biarlah, kenapa perlu risau kita kena hentam. Tapi kita akan berasa bangga bahawa pemain tempatan kita yang bermain.
“Malah, satu hari nanti kita akan nampak ibu bapa nak hantar anak-anak mereka main bola kerana peluang untuk main pasukan kebangsaan ada berbanding sekarang banyak ambil pemain luar (naturalisasi).
“Kadang-kadang orang tak nampak, netizen pun tak nampak. Apa yang mereka tahu, menang bersorak dan marah apabila kalah. Sebagai peminat pasukan Malaysia, kita kena bagi buah fikiran yang baik supaya kita boleh buat perubahan.
“Saya komen dan kritik pun dengan fakta berdasarkan pengalaman yang ada pada saya. Mungkin ada orang yang tak setuju, tapi saya meluahkan perasaan dan hasrat saya, orang suka atau tak suka terpulang kepada mereka,” katanya.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman sebelum ini menjelaskan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente akan memutuskan pasukan mana yang akan dihantar untuk Piala ASEAN 2024.
sumber:-BH
Malah, sebelum ini terdapat cadangan supaya FAM menghantar skuad bawah 23 (B-23) dengan kejohanan itu juga berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).