sukan

‘Hanya Arif Aiman pemain tempatan Harimau Malaya’

KUALA LUMPUR: Kehadiran lapan lagi pemain berdarah warisan yang bakal memperkuat skuad Harimau Malaya menerusi revolusi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), senario itu mencetuskan kebarangkalian tiadanya ‘anak tempatan’ membarisi kesebelasan utama skuad kebangsaan selepas ini.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Ab Karim melihat jika ada anak tempatan sekalipun, berkemungkinan besar hanya pemain dengan kaliber dan kualiti seperti Arif Aiman Hanapi yang mampu untuk memberi saingan kepada pemain berdarah warisan ataupun naturalisasi sekali gus menembusi skuad utama.

Justeru, Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu menegaskan kehadiran pemain warisan baharu ini perlulah bersyarat di mana pengambilan mereka benar-benar akan mengangkat kualiti skuad kebangsaan ke tahap yang lebih tinggi berbanding ketika ini.

“Saya lihat kalau skuad kebangsaan kita dipenuhi orang luar dengan pemain darah warisan ini, sudah tentu secara tidak langsung perkara ini menutup peluang kepada anak tempatan. Saya rasa mungkin hanya Arif Aiman boleh bermain dalam kesebelasan utama, kalau ada Arif Aiman pun, kita boleh bersyukur.

“Dulu kita ingatkan kehadiran pemain warisan ini sekadar menampung di beberapa posisi yang kita kurang tetapi sekarang, 100 peratus pergi kepada mereka. Apapun, ini adalah lumrah dalam bola sepak walaupun kita tahu mungkin ada pihak yang tidak selesa dengan perkara ini, jadi kita terima demi kebaikan bola sepak kita.

“Kalau dulu skuad utama dibarisi nama anak Malaysia tetapi selepas ini, banyak nama ‘mat saleh’ yang akan kita dengar dalam kesebelasan utama. Inilah harga yang perlu dibayar untuk kemajuan dalam bola sepak.

“Cuma kalau kita sudah pergi sejauh ini, sudah pastilah perlu ada keputusan yang mengiringi langkah ini. Sekurang-kurangnya dapatlah kita menjadi juara Piala AFF dan mara sehingga suku akhir Piala Asia dengan skuad baharu ini nanti,” katanya.

Terdahulu, Malaysia dilihat mengikut jejak Indonesia apabila skuad Harimau Malaya bakal diperkuatkan dengan lebih ramai pemain warisan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan empat pemain sedang menunggu kelulusan untuk mendapatkan kerakyatan negara ini manakala empat lagi dalam proses melengkapkan dokumentasi.

Indonesia hanya menyenaraikan dua pemain tempatan iaitu tonggak pertahanan, Rizky Ridho dan pemain sayap, Yakob Sayuri dalam kesebelasan utama mereka ketika menentang Jepun pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026, 15 Februari tahun lalu manakala selebihnya pemain naturalisasi atau warisan.

Skuad Garuda juga menyenaraikan Ridho dan Marselino Ferdinan sebagai pemain tempatan dalam kesebelasan utama ketika mereka mengejutkan Arab Saudi 2-0, 19 November lalu.

SENARAI PEMAIN WARISAN HARIMAU MALAYA SEDIA ADA

Dion Cools

Matthew Davies

Brendan Gan

Darren Lok

Natxo Insa

La’Vere Corbin-Ong

Dominic Tan

Stuart Wilkin

Nooa Laine

Daniel Ting

sumber:-BH