sukan

Haqimi Azim yakin mampu tundukkan Indonesia

Kuala Lumpur: Penyerang skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Haqimi Azim Rosli akui kemenangan besar ke atas Brunei membakar semangat dia dan rakan sepasukannya untuk menundukkan Indonesia.

Anak buah Nafuzi Zain dijadual berdepan Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala AFF B-23 di Stadium Gelora Bung Karno, Isnin ini.

Jelas Haqimi, kejayaan membelasah Brunei 7-1 dengan dirinya turut meledak dua gol nyata melonjakkan lagi semangat pasukan.

“Kemenangan hari ini (semalam) menjadi suntikan moral untuk kami menghadapi Indonesia. Kami akan buat yang terbaik dan berikan 100 peratus,” kata pemain Kuala Lumpur City FC itu.

Menurutnya lagi, hanya kemenangan ke atas skuad Garuda Muda akan menutup mulut pengkritik yang mengecam prestasi pasukan ketika tumbang 0-2 di tangan Filipina dalam aksi pertama sebelum ini.

Ujarnya, dia dan rakan sepasukan akan mengikut perancangan yang diatur barisan kejurulatihan untuk aksi itu nanti.

“Kami ikut arahan jurulatih dan akan fokus kepada perlawanan seterusnya,” katanya.

sumber:- HM

Berdasarkan format kejohanan, hanya juara daripada tiga kumpulan dan satu naib juara terbaik akan layak ke separuh akhir.