Kuala Terengganu: Pencapaian empat pemain import Terengganu FC (TFC) yang berjaya memikat hati ketua jurulatih negara masing-masing begitu menggembirakan Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC.
Bagaimanapun peminat meletakkan harapan yang tinggi agar pemain berkenaan mampu memberikan impak yang lebih positif buat TFC selepas ini.
Presidennya, Mohd Isa Che Ariffin berkata, pada masa sama pemain berkenaan juga mampu menjadi ‘guru’ kepada pemain tempatan terutama bakat muda bagi memastikan mereka terus berdaya saing.
“Kejayaan empat pemain import TFC menambat hati ketua jurulatih negara masing-masing bagi menyarung jersi skuad kebangsaan mereka dalam mengharungi perlawanan persahabatan antarabangsa begitu menggembirakan peminat setia skuad Penyu.
“Lebih menggembirakan salah seorang daripadanya iaitu Gervane Kastaneer bakal beraksi bersama negaranya, Curacao di pentas Piala Dunia 2026.
“Namun di sebalik itu, kami peminat setia juga mahukan pemain import itu bukan sekadar pelengkap dalam pasukan, tapi mampu memberikan impak yang lebih positif buat kelab dengan baki enam perlawanan lagi.
“Pada masa sama pemain tempatan juga perlu menuntut ilmu dengan mereka yang pasti lebih banyak pengalaman kerana pernah beraksi di pentas antarabangsa,” ujar Mohd Isa.
Mengulas lanjut, beliau turut mengharapkan barisan kejurulatihan dapat memanfaatkan sepenuhnya kehadiran pemain itu sebaik mereka pulang daripada tugasan antarabangsa bersama negara masing-masing.
“TFC mempunyai pemain import yang berkualiti, jadi kami fikirkan barisan kejurulatihan harus mengambil peluang berkenaan, lagipun mereka bukan calang-calang pemain, rugi jika tidak ambil peluang,” katanya.
Selain Kastaneer, tiga lagi pemain yang dipanggil untuk memperkuatkan pasukan negara masing-masing termasuk dua pemain Tajikistan, Ehson Panjshanbe dan Shervoni Mabatshoev serta pemain Myanmar, Kyaw Min Oo.